BN perlu 16 kerusi Parlimen dari Perak - Utusan Malaysia

BN perlu 16 kerusi Parlimen dari Perak

MOHAMAD Hasan (dua dari kiri) bersama pemimpin BN melakukan gimik pada Pra Pelancaran Jentera BN PRU15 negeri Perak di Ipoh semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Barisan Nasional (BN) meletakkan sasaran untuk menang sekurang-kurangnya 16 kerusi Parlimen di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berbanding 11 kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU14.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, jentera BN Perak diberikan tugasan berkenaan bagi membolehkan BN menubuhkan Kerajaan Persekutuan selepas PRU15.

“Di Perak, ibu pejabat dan jawatankuasa saya telah memberi satu tugas yang berat kepada Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan rakan-rakan iaitu kami mahu 11 kerusi Parlimen (yang disandang) ini kita kekalkan. Kita juga mahu sekurang-kurangnya lima lagi kerusi. Jadi 16 kerusi mesti ada daripada Perak kerana saya telah membuat perkiraan untuk melengkapkan bahawa BN boleh menubuhkan kerajaan selepas PRU15 nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pra Pelancaran Jentera BN PRU15 Negeri Perak di sini semalam.

Pada PRU14, BN menang 11 kerusi Parlimen iaitu Bagan Datuk, Kampung Gajah, Tapah, Gerik, Lenggong, Parit, Padang Rengas, Bagan Serai, Bukit Gantang, Kuala Kangsar dan Larut. Namun tiga ahli Parlimen menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai).

Untuk peringkat negeri, Mohamad menetapkan sasaran BN Perak untuk memenangi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan parti tersebut menubuhkan kerajaan negeri dengan selesa.

Katanya, beliau melihat kemungkinan untuk BN menambah sembilan lagi kerusi pada PRU15 dan mengekalkan 27 kerusi yang disandang parti itu sekiranya semua jentera bekerja kuat.

Beliau berkata, sembilan kerusi yang menjadi sasaran BN Perak untuk ditambah pada PRU15 melibatkan dua lapisan atau tier iaitu lapisan pertama sebanyak lima kerusi dan lapisan kedua sebanyak empat kerusi.

“Lapisan pertama melibatkan lima kerusi iaitu kerusi yang BN tewas tipis pada PRU14 dengan majoriti tidak melebihi 1,000 dan ini mampu dirampas semula pada PRU15. Lima itu senang-senang, dalam tangan tetapi ada lagi empat kita letak dalam tier nombor dua. Maknanya 27 kerusi DUN kita perlu kekalkan dan sembilan lagi kita boleh ambil balik dan kita akan dapat menubuhkan kerajaan BN negeri Perak satu kerajaan yang majoritinya selesa.

“Sebab itu saya nasihatkan supaya kita ketepikan apa sahaja kepentingan peribadi dan perselisihan faham antara kita kerana keutamaan kita ialah untuk menghadapi PRU15 dan menang dan menubuh kerajaan,” katanya.

Pada PRU14, BN kalah tipis di lima kerusi DUN iaitu Chenderiang, Selama, Kubu Gajah, Titi Serong dan Behrang.

Mengenai persediaan jentera BN, Mohamad berkata, beliau telah melawat UMNO di 10 negeri dan semua jentera negeri sudah bersedia untuk menghadapi PRU15 yang akan diadakan pada bila-bila masa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN