Sesekali Azlan menoleh ke arah jalan raya yang gelap di hadapan. Dia toleh jam di tangan, sudah hampir 12 tengah malam. Pelik pula, biasanya di waktu begini bas terakhir yang bertolak dari bandar sudah sampai, tetapi kenapa malam ini lewat sangat. Rosakkah? tanyanya dalam hati.
Kilat sudah beberapa kali memancarkan cahayanya. Risau juga kalau hujan sebentar lagi. Perhentian bas tempat dia menunggu itu pun bukannya elok sangat, bumbung pun sudah berlubang sana-sini. Kalau hujan lebat habislah dia.
Azlan semakin tidak keruan. Pantang terlihat sahaja lampu kenderaan di jalan raya pasti dia menjengah. Berharap agar bas yang ditunggunya sampai. Sebelum ini tidak pernah pula dia alami kejadian seumpama ini. Biasanya sebelum pukul 12 malam mesti bas sampai kerana setahunya bas terakhir bertolak dari stesen pada pukul 11.15 malam.
Timbul pula rasa menyesal kerana tidak menumpang motosikal rakan serumahnya, Ahmad tadi, jika tidak pasti dia sudah sampai di tempat kerja.
“Betul kau tak nak tumpang aku Lan?” tanya Ahmad sambil mencapai topi keledarnya di meja makan.
Dia hanya tersengih sambil memberi isyarat menyuruh rakannya itu bergerak dahulu.
“Kau pergilah dulu. Aku nak basuh pakaian sikit. Aku pergi naik bas nanti,” katanya.
Sedang asyik meninjau jalan raya yang sunyi ketika itu, tiba-tiba dia tersentak. Dari cahaya suram malam dia dapat melihat satu sosok sedang berjalan menghampirinya. Berkerut dahinya cuba mengamati siapakah yang sedang melangkah menuju ke arahnya ketika itu.
Hampir 20 meter di hadapan barulah dia dapat melihat dengan jelas. Kelihatan seorang wanita berbaju kurung merah sedang menjinjit sebuah beg berjalan ke arah perhentian bas tempat dia berdiri ketika itu.
Wanita itu melemparkan senyuman sebaik menghampirinya. Niat di hati ingin juga dia menyapa bertanya dari mana dan ingin ke mana, namun terasa segan pula.
“Bas terakhir masih belum sampai ke encik?” wanita tersebut bertanya.
Azlan tersentak sambil menggelengkan kepala.
“Sudah dekat satu jam saya tunggu, tapi sampai sekarang tak muncul-muncul. Entah-entah rosak,” kata Azlan tersengih. Wanita tersebut hanya tersenyum sebelum menyambung kata-kata.
“Ada tuu.. sekejap lagi muncullah tu. Bas di kampung kita ini biasalah, kadang-kadang bukan ikut masa pun,” kata wanita tersebut.
“Kalau lambat tak apa, jangan sampai tak muncul terus sudahlah. Saya masuk kerja pukul 1 pagi ini. Kalau tak datang nanti mengamuk pulak penyelia saya,” sambung Azlan sambil tertawa kecil.
Wanita itu turut tertawa. Nampak jelas susunan giginya yang putih dan teratur kemas. Dan bila dia tersenyum pula nampak lesung pipit di kedua belah pipinya. Sesekali Azlan cuba mencuri pandang mengamati wanita tersebut.
“Cik ini nak ke mana pula? Tunggu bas juga?” tanyaku cuba merancakkan perbualan.
Wanita tersebut menggelengkan kepalanya.
“Saya tunggu kawan datang. Nak pergi ke rumah saudara di pekan, sebab esok ada kenduri. Ingatkan nak pergi siang tadi tapi balik kerja dah, lewat jadi saya pergi malam ni,” katanya. Azlan angguk sambil tersenyum.
“Nama cik ini siapa dan tinggal di mana? tanyanya lagi
“Nama saya Mira. Saya tinggal menyewa dengan kawan dekat rumah teres belakang balai raya tu. Kami serumah semua bekerja di kilang elektronik di pekan,” jawabnya tanpa berselindung.
Akhirnya mereka berdua berceloteh panjang. Rasa malu dan segan yang wujud pada awal perkenalan tadi sudah dibuang jauh.
“Hah, itu pun bas yang encik tunggu dah sampai,” kata wanita tersebut sambil meluruskan jarinya ke arah sorotan cahaya lampu di jalan raya hadapan mereka.
Azlan menarik nafas lega. Sebelum mengucapkan selamat tinggal sempat juga dia meminta nombor telefon wanita tersebut.
“Manalah tahu kalau esok lusa boleh kita keluar minum-minum,” kata Azlan sambil menekan nombor telefon yang diberi di telefon bimbitnya. Mira sekadar tersenyum.
“Insya-Allah kalau ada rezeki nanti bolehlah kita jumpa lagi,” katanya tersenyum.
Azlan lantas memanjat tangga bas sebaik sahaja kenderaan tersebut berhenti berdekatannya. Dari kaca tingkap kenderaan sempat juga dia melambaikan tangan mengucapkan selamat tinggal. Dalam hati dia mengomel sendirian kerana tidak berkesempatan untuk berbual lama dengan wanita tersebut.
Sementara menunggu bas yang dinaiki sampai ke kilang di tempat kerjanya, sempat juga dia membelek telefon bimbit di tangan. Dia tersenyum sendirian. Nasib baiklah dia sempat mengambil nombor telefon wanita tersebut, jika tidak terlepaslah peluangnya untuk berkenalan.
Hujung minggu berikutnya Azlan sudah merancang untuk menghubungi Mira. Fikirnya jika wanita tersebut tidak bekerja dia ingin mengajaknya keluar sambil menonton wayang. Baginya inilah peluang untuk dia mengenali wanita tersebut secara dekat.
“Hello… Assalamualaikum.Ini Mira ke? tanyanya perlahan sedikit gementar.
“Err… maaf, boleh saya tahu siapa ini? Jawab suara seorang wanita di hujung talian.
“Saya Azlan, ini rumah Mira ke? Suasana sunyi seketika. Aku menunggu dengan penuh sabar.
“Maaf ye encik Azlan, boleh saya tahu… err encik ini kawan Mira ke? tanyanya kembali.
“Oh, iya… saya kawan Mira. Saya telefon nak bertanya khabar sahaja,” kata Azlan menyembunyikan niat sebenar.
Wanita di hujung talian itu terdiam seketika sebelum menyambung kata-katanya.
“Sebenarnya Mira dah sebulan lebih meninggal dunia, encik tak tahu ke?” jawab wanita tersebut perlahan.
Azlan terkedu. Hampir terlepas telefon bimbit di genggamannya.
Pandangannya serta merta kabur, namun dia gagahkan jua untuk bertanya lebih lanjut. “Oh, iya ke? Saya tak tahu pula dia dah meninggal dunia. Dia sakit apa? tanyanya cuba mengawal perasaan.
“Itulah, masih ramai kawan arwah yang tak tahu. Dia meninggal dunia sebab kemalangan jalan raya berdekatan taman perumahan kami,” jawab suara di hujung talian dengan nada sayu.
Azlan terdiam dan hilang kata-kata. Setelah memberi salam dia mematikan panggilan. Sepanjang hari dia kusut memikirkan berita yang baru diterimanya itu.
Namun yang lebih bermain di fikirannya ketika itu adalah peristiwa pertemuannya dengan wanita bernama Mira pada malam itu. – Mingguan Malaysia
Betul ke encik ini kawan Mira?
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 28 Ogos 2022, 5:03 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Dari mana datangnya mata air ini?
29 Oktober 2023, 4:43 pm
Esok pagi bolehlah kau datang ke rumah aku…
1 Oktober 2023, 5:19 pm
Siapa yang kayuh basikal itu?
17 September 2023, 4:51 pm