Berjasa gariskan enam teras bentuk negara unggul

Berjasa gariskan enam teras bentuk negara unggul

DR. Mahathir Mohamad (dua dari kiri) melancarkan Impian Nasional Berjasa 2040 yang turut disertai Zamani Ibrahim (kiri) pada Himpunan Nasional Berjasa 2022 di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menggariskan enam teras utama dalam membentuk negara unggul dan bermaruah yang perlu dipegang oleh pimpinan Melayu Islam.

Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim berkata, enam teras itu adalah identiti nasional dan perpaduan, perlembagaan dan perundangan, politik dan kepimpinan, ekonomi dan sara hidup, pendidikan dan juga teknologi.

Zamani berkata, teras berkenaan juga merupakan dokumen menggambarkan ciri-ciri Malaysia unggul dan bermaruah yang akan dijadikan sebagai panduan dalam merangka segala gerak kerja pada masa hadapan.

“Enam teras itu termaktub dalam Impian Nasional Berjasa 2040, kita mahu melahirkan masyarakat majmuk unggul memahami identiti nasional bertunjangkan jati diri Melayu dan tidak menolak keunikan adat dan budaya lain di negara kita.

“Begitu juga dalam dalam Perlembagaan dan perundangan perlu menzahirkan prinsip negara seperti termaktub di dalam Perlembagaan iaitu kesamarataan manusia di hadapan undang-undang tanpa mengira darjat, pangkat atau status harta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Nasional Berjasa 2022 yang dirasmikan oleh pengasas Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zamani berkata, Malaysia sebagai sebuah negara unggul memerlukan Perlembagaan sebagai tunjang utama sistem dan tadbir urusnya dan perkara itu tidak boleh sewenang-wenangnya dipertikaikan.

“Kita tidak mahu melihat situasi Ah Lim, Ajib atau Rama yang terbukti bersalah melalui sistem perundangan negara menerima sebarang kekebalan atas sebab kedudukan. Keadilan perlu diberikan kepada semua ahli masyarakat tanpa sebarang kompromi.

“Begitu juga dalam politik yang mahukan kepimpinan yang unggul selain diacu dengan acuan kita sendiri dan bebas daripada pemikiran penjajah.

“Sistem pemerintahan akan bertunjangkan prinsip dan nilai-nilai murni yang lahir dari jati diri dan identiti nasional, begitu juga dalam bidang ekonomi akan dipacu dengan acuan sendiri oleh tenaga kerja yang berpengetahuan dan kemahiran tinggi,” katanya lagi.

Selain itu katanya, campur tangan atau keistimewaan pihak tertentu dalam perundangan yang bertentangan dengan Perlembagaan wajib dihapuskan dan rakyat akan boleh hidup bahagia selain memiliki kehidupan lebih harmoni.

“Begitu juga dalam impian kita dalam politik, landskap politik negara ini akan bertukar secara keseluruhan dengan mengamalkan konsep politik matang dan integriti tinggi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya