PETALING JAYA: Pengacara dan pelakon, Che Puan Sarimah Ibrahim memaklumkan, dia tidak tahu menahu tentang pergolakan rumah tangga yang berlaku di antara pasangan penyanyi, Mizz Nina dan Noh Salleh.
Sebaliknya, jelas Sarimah, dia dapat berasakan sesuatu sedang berlaku menerusi perkongsian rakannya itu di media sosial.
“Saya langsung tak tahu. Cuma, dari perkongsiannya (Mizz Nina) di laman sosial, saya dapat rasakan ada sesuatu yang mungkin tak okey.
“Saya ada cuba menghubunginya, beberapa minggu sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanya sama ada dia ada menghubungi Mizz Nina selepas mereka mengumumkan berita perceraian, Sarimah menjawab ya.
“Saya ada menghubungi (sejurus selepas berita diumumkan) dan bertanya khabar. Kami saling mengenali dan berkawan,” katanya.
Dalam pada itu, Sarimah meminta agar semua pihak memberi ruang kepada Nina dan Noh untuk tenang menghadapi ujian ini serta tidak menimbulkan sebarang spekulasi negatif.
“Semoga mereka tenang menghadapi situasi ini. Saya pernah melalui situasi yang sama. Perceraian adalah sesuatu yang cukup menyakitkan dan pengalaman yang sukar.
“Mereka harus diberi ruang dan masa untuk memproses serta mengharungi situasi ini dengan cara yang terbaik,” katanya.