KOTA KINABALU: Pemimpin-pemimpin politik di Semenanjung Malaysia harus berhenti memecahbelahkan rakyat melalui penubuhan pelbagai gabungan parti berasaskan kaum.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, sejak kebelakangan ini, pihak yang memecahbelahkan orang Melayu dan Islam ialah Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, dahulu semasa mula-mula berpolitik dan bermanja-manja dengan UMNO, Tun Mahathir menyatakan tentang pentingnya untuk bersatu dan jangan berpecah.
“Pada masa itu, saya selaku Presiden Angkatan Keadilan Rakyat (Akar) sanggup membubarkan parti kerana yakin dengan apa yang disebut oleh Tun. Beliau menyatakan di Sabah terlalu banyak parti dan itu akan memecahbelahkan rakyat.
“Sekarang, kita dapati di Semenanjung pula semakin banyak parti dan ia diketuai oleh Melayu-Islam. Apa sebenarnya yang berlaku.
“Di Sabah, kita patut rasa beruntung kerana kita masih boleh bekerjasama antara satu sama lain,” katanya ketika mengulas tentang tindakan Tun Mahathir menubuhkan Gerakan Tanah Air (GTA).
Menurut beliau, keadaan politik semakin bercelaru kerana tindakan pemimpin-pemimpin besar yang berbalah sesama sendiri.
Dalam keadaan politik dan ekonomi dunia tidak stabil susulan jangkitan Covid-19, disitulah pemimpin melayu yang unggul di Semenanjung memperlihatkan perpecahan.
“Itu bukan satu contoh yang baik kepada pemimpin kerdil macam kami di Sabah,” katanya.
Mengulas tentang kemungkinan Pakatan Harapan (PH) boleh kembali memerintah, Pandikar Amin berkata, perpecahan yang berlaku dalam blok pembangkang itu petanda jelas bahawa hubungan kerjasama mereka cukup rapuh.
“Suatu ketika dahulu PH adalah satu gabungan besar yang mantap tapi sekarang sudah wujud parti-parti seperti Pejuang dan Parti Bangsa Malaysia (PBM). PH sudah berpecah, kalau berpecah bermakna, kita roboh.
“Andaian saya, tidak mustahil mereka kembali memerintah kerana dalam politik apa pun boleh berlaku. Malah, kerajaan sekarang juga tidak dipilih melalui pilihan raya.
“Apa yang harus menjadi keutamaan sekarang adalah fokus mentadbir negara seperti dahulu agar Malaysia kembali disegani,” katanya.-UTUSAN