REMBAU: Padah kerana membenarkan rakan menggunakan akaun perbankannya, seorang wanita warganegara Indonesia hari ini didenda sebanyak RM1,600 di Mahkamah Majistret Rembau, di sini.
Ia selepas dia gagal memberikan keterangan munasabah terhadap dua pertuduhan berhubung pemilikan wang di dalam akaun bank miliknya.
Tertuduh, Asmidar Sitakar, 33, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Kartini Kasran.
Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, Asmidar yang bekerja di sebuah kilang di Chemor, Perak didakwa tidak dapat memberikan penjelasan memuaskan bagaimana wang milik dua lelaki iaitu masing-masing berjumlah RM130 dan RM200 boleh berada di dalam akaun bank miliknya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Legong Ulu Kota dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas di sini pada pukul 11 pagi dan 2 petang, pada 6 dan 20 Jun lalu.
Kesalahan tersebut dilakukan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955, yang boleh dihukum di bawah akta sama. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng manakala tertuduh diwakili peguam, Farhan Fadzil.
Tsu Sheng dalam hujahannya menyatakan maruah diri dan reputasi mangsa terjejas disebabkan penipuan (scam) tersebut dan alasan tertuduh juga tidak mengetahui akaun digunakan untuk tujuan perniagaan juga tidak memuaskan.
Berdasarkan kekerapan kes-kes seperti ini yang berlaku di Malaysia, Tsu Sheng memohon satu denda maksimum sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Mengikut fakta kes, mangsa mendakwa dihubungi lelaki tidak dikenali menerusi aplikasi WhatsApp dan mengugut untuk menyebarkan gambar dan video bogel mangsa sekiranya tidak memasukkan jumlah wang yang diminta.
Tertuduh mengaku rakannya dari Indonesia meminta pertolongan untuk menggunakan akaun banknya bagi urusan perniagaan tetapi tidak mengetahui ia akan digunakan untuk melakukan pemerasan gambar bogel.
Kartini turut memerintahkan hukuman penjara dua bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu. – UTUSAN