KOTA BHARU: Bekas pengurus besar syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM10,000 bagi melantik sebuah syarikat lain sebagai sub kontraktor.
Wan Mohd. Zamri W. Ismail,61, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terhadapnya yang dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd. Noor.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah menerima wang sebanyak RM10,000 daripada Ng Te Wei,44, melalui satu cek bertarikh 21 Januari 2015 yang dikreditkan ke dalam akaun sebuah bank milik Zamri.
Suapan itu sebagai dorongan membantu syarikat Zog Technology Sdn. Bhd. dilantik sebagai sub kontraktor untuk kerja-kerja mereka bentuk, membina, menyiapkan, menguji lari, mentauliah kerja-kerja mekanikal termasuk elektrikal dan kerja-kerja berkaitan (reka dan bina) untuk Skim Bekalan Air Merbau Chondong Fasa II, Pakej I Machang di sini.
Kesalahan dilakukan di sebuah bank di Jalan Mahmood di sini pada 22 Januari 2015.
Selain itu, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 (1) akta yang sama.
Penjara
Seksyen tersebut memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Adha Amir Yasser.
Terdahulu, Mariah menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri ke pejabat SPRM dan balai polis berdekatan tempat tinggalnya setiap bulan.
Bagaimanapun, Ahmad Adha dalam rayuannya memohon jaminan rendah kerana Zamri sudah tidak bekerja selepas ditamatkan kontrak sebagai perunding atau konsultan Syarikat Air Johor Sdn. Bhd. sejurus ditahan reman berkait kes tersebut pada tahun lalu.
Menurutnya, tertuduh mempunyai lapan anak yang berusia 19 hingga 37 tahun selain menyara tujuh daripada 15 orang cucunya.
Selain itu, katanya, Zamri juga mempunyai pelbagai masalah kesihatan yang serius antaranya masalah buah pinggang kronik dan jantung bengkak yang menyebabkan degupan kuat sehingga rasa berdebar.
“Tertuduh tinggal dan membesar di Kota Bharu akan terus memberi kerjasama kepada pihak mahkamah sepanjang prosiding perbicaraan. Tertuduh juga berhasrat mahu membersihkan namanya dalam kes ini,” katanya.
Mahkamah membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah, perlu melapor diri di pejabat SPRM dan balai polis pada setiap 1 hari bulan.
Mahkamah turut menetapkan 28 September depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, tiga individu termasuk seorang bekas pengurus besar dan seorang pegawai syarikat AKSB direman pada 9 Julai lalu selepas dipercayai terlibat dalam kes rasuah membabitkan projek lebih RM27 juta.- UTUSAN