KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menafikan bahawa beliau pernah mendapat sebarang arahan atau titah daripada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berhubung pelantikan Jho Low dalam Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).
Sebagai individu yang terlibat dalam penubuhan tabung kekayaan berdaulat (soveriegn wealth fund) negeri terbabit daripada peringkat awal lagi, Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal itu turut menafikan pembabitan Sultanah Terengganu itu dalam TIA.
“Saya selaku Ketua Eksekutif Kanan ketika itu yang telah menubuhkan TIA. Memang tidak pernah Sultanah Terengganu terlibat dalam apa-apa jua keputusan dan pertemuan.
“Saya tidak pernah bertemu dengan Sultanah Terengganu semasa kami (Kerajaan Negeri Terengganu) menubuhkan TIA malah tidak pernah menerima pandangan, nasihat atau apa-apa juga perkara berkaitan TIA.
“Tidak pernah sekalipun saya bertemu atau bersua dengan Sultanah Terengganu ketika TIA itu ditubuhkan, sebab itu saya menafikan sekeras-kerasnya. Saya tidak pernah menerima arahan, titah atau sebagainya yang mengatakan (kerajaan negeri) perlu lantik Jho Low atau sesiapa sahaja,”katanya.
TIA mula ditubuhkan pada 27 Februari 2009 dan pada ketika itu, Ahmad merupakan Menteri Besar Terengganu. Beliau memegang jawatan tersebut sehingga 12 Mei 2014.
Pada 25 September 2009, TIA telah ditukar kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan Pusat.
Ahmad yang merupakan saksi plaintif ketiga dan terakhir berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman fitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah terhadap pengarang Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan dua lagi di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Selain Clare, turut dinamakan sebagai defendan ialah penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn. Bhd.
Dalam pernyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah mendakwa Clare telah membuat pernyataan yang memalukan terhadap baginda dalam buku The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose.
Sultanah Nur Zahirah mendakwa, kenyataan itu memberi gambaran bahawa baginda terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri pentadbiran Terengganu selain menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan TIA yang kemudian menjadi 1MDB.
Baginda mendakwa kenyataan itu juga memberi gambaran yang baginda menolong ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho untuk menjadi penasihat TIA.
Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan tersebut memfitnah dan merosakkan reputasi baginda kerana baginda tidak pernah mencampuri pentadbiran negeri dan penubuhan TIA.
Baginda menuntut ganti rugi am RM100 juta daripada setiap defendan dan memohon perintah terhadap defendan kedua (penerbit) menarik balik buku itu yang mengandungi kenyataan fitnah dan terhadap defendan ketiga supaya berhenti mencetak buku itu seterusnya.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dr. John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee masih lagi berjalan dengan mahkamah mendengar keterangan daripada Clare selaku saksi defendan pertama. –UTUSAN ONLINE