Bapa tabah jaga lima anak istimewa - Utusan Malaysia

Bapa tabah jaga lima anak istimewa

ABDUL RANI Mat (tiga dari kanan) bersama lima anak istimewanya di kediaman mereka di Kampung Rumbia, Beserah di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Selagi hayat dikandung badan, saya akan terus menjaga, menguruskan dan menyayangi lima anak istimewa ini”.

Demikian kata Abdul Rani Mat, 62, dari Kampung Rumbia, Beserah di sini yang kini bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan lima anak istimewanya setelah isteri, Zawiyah Mahmud, 58, meninggal dunia pada 24 April lalu.

Lima anak istimewa itu adalah, Mohamad Asrul Nizam, 37, Siti Nurul Ashikin, 34, Mohamad Iskandar, 30, Mohamad Ikmal Hakimi, 23, dan Mohamad Amir Azwan, 19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Abdul Rani berkata, kelima-lima anak istimewanya itu perlu dipantau dan diuruskan kerana mereka tidak pandai menguruskan diri sendiri.

“Kesemua anak istimewa saya ini juga tidak boleh bercakap sejak dari kecil, bagaimanapun faham dan dengar jika kita bercakap dengan mereka.

“Dahulu, saya dan arwah isteri menguruskan mereka bersama-sama, kini ia tanggungjawab saya sepenuhnya, namun, ia bukan beban buat saya,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, anak-anak istimewa itu menerima kunjungan Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi, Daz Bikers diketuai penaungnya, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir yang hadir menyampaikan sumbangan kepada mereka.

Abdul Rani berkata, kelima-lima anak istimewa itu dilahirkan normal seperti mana kanak-kanak yang lain.

“Apabila membesar, mereka tidak seperti kanak-kanak lain kerana tidak boleh bercakap dan tidak pandai menguruskan diri sendiri.

“Apabila meningkat dewasa kini, mereka sudah boleh ke sekolah pendidikan khas. Ada sesetengah perkara, mereka boleh uruskan sendiri tetapi perlu sentiasa dipantau, selain ada waktunya bertindak agresif dan di luar jangkaan,” katanya.

Bapa kepada tujuh orang anak itu tidak pernah mengeluh dan berjanji akan terus menjaga anak-anak istimewanya tersebut dengan penuh kesabaran dan juga kasih sayang sehingga ke akhir hayatnya.

Bagi menyara kehidupannya dan keluarga, beliau yang juga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya melakukan kerja-kerja kampung dan mengambil upah membersihkan halaman rumah jiran dengan upah bulanan RM300.

“Dahulu semasa arwah isteri masih ada, saya buat macam-macam kerja setelah berpencen tentera termasuk menjadi pemandu lori.

“Kini, saya tidak boleh keluar bekerja jauh, hanya buat kerja-kerja kampung kerana tumpuan perlu diberikan sepenuh masa kepada anak-anak istimewa saya di rumah.

“Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana turut dibantu oleh anak kelima, Nurul Aina Fitrah, 28, yang tinggal bersama saya di rumah,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya