PETALING JAYA: Bajet 2023 perlu lebih intervensi dan berkesan dalam menangani cabaran kekurangan buruh, modal kerja dan pemulihan yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) Pusat, Datuk William Ng berkata, ini kerana hampir 90 peratus PKS yang ditinjau mengalami masalah kekurangan pekerja dan hanya 75 peratus daripada perusahaan mencatat pertumbuhan tahun ini.
Justeru katanya, kerajaan perlu mempertimbangkan pelbagai inisiatif terutama mengurangkan cukai pendapatan korporat sebanyak 15 peratus untuk keuntungan RM1 juta pertama bagi PKS.
“Ini akan menggalakkan PKS untuk melaporkan sepenuhnya keuntungan mereka, mengejar jalan pertumbuhan dan jualan baharu, selain menambah simpanan mereka yang telah kehabisan sepenuhnya semasa pandemik.
“Bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, kerajaan boleh memperkenalkan pinjaman mudah untuk pemerolehan atau pembaikan mesin dan kilang bagi membolehkan PKS memodenkan dan mengautomasikan peralatan mereka.
“Untuk pembiayaan eksport, pembiayaan pra-penghantaran mengikut Pembiayaan Semula Kredit Eksport (ECR) yang tersedia pada tahun 80-an harus diperkenalkan semula (berbanding dengan LC).
“Ini akan membantu PKS yang telah menerima tempahan tetapi tidak dapat memenuhinya kerana kekurangan dana untuk menjalankan pengeluaran, membeli bahan mentah dan sebagainya,” katanya.
Selain itu, William mencadangkan tambah nilai 1.0 peratus potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja yang memilih bekerja untuk PKS.
Ujarnya, pada masa ini, PKS kurang bernasib baik dari segi saiz, peluang kerjaya dan faedah, dalam menarik bakat baharu yang lebih memilih untuk bekerja dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC).
“Jika ini berterusan, tidak mungkin PKS boleh berharap untuk menarik bakat tempatan, justeru terpaksa terus menggaji pekerja asing.
“Kerajaan juga disaran menangguhkan levi Cukai Jualan ke atas import e-dagang bernilai rendah jika Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ingin diperkenalkan semula untuk menampung kebocoran semasa ini pada barangan import bernilai rendah (LVG). Juga, ini akan merugikan pada peringkat ini apabila kami cuba memindahkan PKS dalam talian,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan juga perlu melesenkan dan menetapkan had pada perkhidmatan p-hailing dan e-hailing.
“Pada masa ini PKS dalam sektor runcit serta makanan dan minuman (F&B) membayar antara 28 hingga 32 peratus komisen kepada syarikat penghantar seperti Foodpanda dan Grab, yang mengakibatkan situasi kalah-kalah.
“Kerajaan perlu memantau perkara ini supaya kedua-dua pihak mendapat manfaat yang sama dan tidak menekan antara satu sama lain,” ujarnya. – UTUSAN