JOHOR BAHRU: Pelakon dan penyanyi terkenal tanah air, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie mendedahkan pernah berhasrat mengangkat kehidupan tokoh sejarah, Datuk Bahaman ke layar perak.
Awie yang popular dengan watak Husin dalam beberapa siri filem arahan Allahyarham Mamat Khalid bagaimanapun memberitahu, hasrat itu terpaksa dibatalkan selepas filem Mat Kilau menemui penonton terlebih dahulu.
“Sebenarnya sebelum ini saya ada hantar ‘proposal’ kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebelum filem Mat Kilau keluar di pawagam, tetapi tidak tahu mengapa perkara itu tidak jadi.
“Filem yang saya mahu hasilkan itu mengenai kehidupan Datuk Bahaman, tetapi tidak mengapalah mungkin bukan rezeki saya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Konvoi Kempen Pencegahan Jenayah Komersial @ Awie Ride di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dan turut dihadiri Saifulazam Mohammad Yusoff atau Saiful Apek.
Namun, Awie akan melihat tokoh-tokoh sejarah atau genre lain untuk difilemkan pada masa depan.
“Sekarang ini orang dah terlalu sibuk bercakap fasal filem dengan genre sebegini, sampai ada yang cakap tak lama lagi keluar filem Tok Janggut pula.
“Jadi tidak mengapalah, nanti saya cari idea filem lain selepas ini,” katanya yang kini sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap jenayah penipuan secara dalam talian.
Sementara itu, Saiful Apek menganggap fenomena filem Mat Kilau sebagai petanda positif dalam industri perfileman tempatan pasca pandemik Covid-19.
Filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof berjaya mengangkat industri perfileman tempatan selepas mencatat sejarah tersendiri dengan kutipan mencecah RM90 juta hanya selepas 33 hari ditayangkan. – UTUSAN