Asnaf azam keluar daripada garis kemiskinan - Utusan Malaysia

Asnaf azam keluar daripada garis kemiskinan

SITI SYAZWANI Zanim menjual pisang goreng semasa menyertai Karnival Jualan Usahawan Bimbingan Kemas di Menara Persekutuan, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Golongan asnaf mahu bangkit mengubah nasib diri menerusi bantuan daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Melaka yang membimbing mereka dalam perniagaan menerusi Program Asnaf Berdikari.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peserta, Noor Aziah Ramli, 37, berkata, dia sentiasa mencuba untuk keluar daripada kepompong kemiskinan serta ingin meraih pendapatan lebih RM3,000 sebulan.

Noor Aziah yang mempunyai lima anak berusia antara empat hingga 16 tahun berkata, dia bertekad ingin memajukan perniagaan selepas menerima dapur, kuali memasak burger, khemah dan meja.

“Sebelum ini saya berniaga kecil-kecilan di rumah jual burger, kuih-kuih dan sebagainya. Apabila Kemas menawarkan kursus serta bantuan RM3,000, dapatlah saya memulakan perniagaan lebih besar,” katanya ketika ditemui di sini.

Bagi seorang lagi asnaf, Siti Syazwani Zanim, 26, bantuan diterimanya meringankan beban keluarga yang terhimpit sejak suaminya menghidap sakit buah pinggang, sehingga terpaksa menjalani rawatan dialisis bermula Oktober 2021.

Katanya yang tinggal di Paya Redan, Ayer Molek di sini, dia berazam untuk berjaya seperti peniaga lain dengan menyasarkan pendapatan lebih RM2,000 sebulan.

“Dulu suami bekerja sebagai pemandu lori dengan gaji RM1,500, namun sejak mengalami sakit buah pinggang dia tidak lagi boleh bekerja seperti biasa.

“Bagi menambah pendapatan saya mula jual kuih, burger dan laksa. Pendapatan hanya sekitar RM600 hingga RM700 sebulan dan saya harap bimbingan serta bantuan Kemas boleh mengubah hidup saya,” katanya yang masih belum mempunyai zuriat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya