PETALING JAYA: Sebarang tindakan untuk mengapungkan harga ayam seolah-olah memberi ‘lesen’ kepada pemain gergasi industri ternakan ayam untuk menentukan harga ternakan tersebut menerusi kawalan terhadap bekalan yang masuk ke pasaran.
Pensyarah kanan, Pusat Penyelidikan Bioteknologi Pertanian (CEBAR), Universiti Malaya (UM), Dr. Nurzatil Sharleeza Mat Jalaluddin berkata, ini kerana mereka mempunyai maklumat tentang jumlah permintaan dan angka itu boleh digunakan untuk menentukan tahap pengeluaran dan harga.
“Saya pernah buat kajian tentang struktur industri ayam dan secara peribadi, saya berpendapat, jika hendak apungkan harga, siapa yang akan mengawal selia apungan tersebut.
“Implikasi apungan harga kepada pengguna amat besar. Contoh mudah, kalau ayam mentah naik harga, harga rendang ayam boleh naik juga. Tapi kalau ayam mentah turun harga, tidak mungkin harga rendang ayam akan turun harga,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dr. Nurzatil Sharleeza berkata, berikutan kesannya yang sangat besar kepada pengguna, kerajaan perlu berhati-hati sebelum mengambil langkah mengapungkan harga ayam di pasaran.
Semalam, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi telah mengemukakan tiga cadangan kepada Kabinet Jumaat lalu tentang industri ayam.
Ini termasuk mengapungkan harga ayam selepas harga siling bekalan itu tamat pada 31 Ogos ini, mengekalkan subsidi sedia ada dan ayam dijual pada harga RM9.40 sekilogram (kg) atau mengurangkan subsidi yang perlu ditanggung kerajaan.
Sementara itu, seorang pakar ternakan ayam yang juga Pensyarah di Jabatan Sains Haiwan, Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr. Zulkifli Idrus berkata, langkah mengapungkan harga ayam mentah wajar dipertimbangkan untuk keadilan pengguna dan juga penternak.
Namun, katanya, ia harus dibuat secara teliti menggunakan mekanisme khusus yang memantau dan menyelia harganya secara berkala.
“Mengapungkan harga ayam itu boleh, ia perlu diapungkan kerana jika (penetapan harga) itu berpanjangan, ia boleh menjejaskan penternak. Kita harus jaga kesejahteraan rakyat dan penternak. Kumpulan inipun tak ramai, ada kira-kira 3,000 ke 4,000 saja.
“Apa yang saya cadangkan ialah agar kerajaan mengadakan semakan ke atas harga ayam di pasaran sekerap mungkin, contohnya seminggu sekali.
“Ini seperti yang dibuat terhadap harga petrol, ia ditentukan oleh kerajaan tapi ada kajian dan tinjauan yang kerap, bukanlah tiga bulan sekali, betul? Pandangan saya, saya setuju diapungkan, tapi ada kawalan. Malah perlu kajian yang kerap, misalnya seminggu sekali,” katanya. – UTUSAN