TELUK INTAN: Seorang lelaki dari Kampung Rancangan Pinggir, Kilometer 24, Jalan Bidor, Kampung Air Hitam di sini tidak pulang selepas keluar ke kedai pada 23 Julai lalu.
Mairan Basir, 66, kali terakhir dilihat berada di sebuah kedai kopi tidak jauh dari rumahnya pada pukul 4 petang hari yang sama.
Anak sulung lelaki itu, Noorsam Mairan, 42, berkata, dia semakin bimbang kerana lebih seminggu bapanya tidak pulang.
“Biasanya bapa keluar rumah untuk minum di kedai, dia tetap pulang.
“Bapa mengalami masalah tidak boleh bertutur dengan betul sejak lebih setahun dan cepat lupa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, selepas dilaporkan hilang, orang kampung turut membantu mencari dengan pelbagai cara termasuk di kawasan kebun sawit dan hebahan dalam media sosial.
Dia juga menghubungi saudara-maranya untuk bertanyakan jika bapanya ada bersama mereka namun sehingga kini masih gagal ditemukan.
Menurutnya, laporan polis mengenai kehilangan bapanya itu sudah dibuat pada 24 Julai lalu iaitu 24 jam selepas bapanya tidak pulang.
Noorsam berharap orang ramai yang mempunyai maklumat atau menemukan bapanya itu menghubunginya di nombor telefon 011-33507158. – UTUSAN