KUALA LUMPUR: Selepas tiga tahun saling mengenali, penyanyi Aizat Amdan bakal menamatkan zaman bujang dengan pengurusnya, Elyssa Alia Ilias, 34, pada 14 Ogos ini.
Aizat atau nama sebenarnya, Muhammad Aizat Amdan, 33, berkata majlis pernikahannya dengan wanita berusia 34 tahun itu akan berlangsung secara tertutup di A-Park, Puchong, Selangor.
“Asalnya saya dan Elyssa hanya bersahabat. Tetapi, lama-kelamaan perasaan cinta timbul dan keserasian itu membuka hati kami untuk mendirikan rumah tangga.
“Kami tidak bertunang, sebaliknya cuma majlis merisik diadakan sekitar Februari lalu. Tarikh 14 Ogos dipilih kerana ia momen yang tepat untuk meraikan cinta kami,” katanya.
Aizat yang ditemui pada sidang media pelancaran lagu Hanya Kita Dua di pejabat Indigital Music, Petaling Jaya, dekat sini, petang tadi berkata, dia tertarik dengan perwatakan Elyssa yang mempunyai keistimewaan tersendiri pada pandangan matanya.
“Dia lain daripada wanita yang pernah saya jumpa. Elyssa banyak bercakap dan sentiasa bersemangat jika dibandingkan dengan saya,” ujarnya.
Pasangan itu akan turut diraikan pada majlis persandingan di lokasi dan tarikh yang sama.