LANGKAWI: Kepulangan semula keturunan ketujuh Mahsuri, Wan Aishah Wan Nawawi, 37, bersama keluarganya ke pusat peranginan itu menjadi bualan orang ramai.
Wan Aishah bersama suaminya, Alee Tongyon, 39, dan anak lelaki mereka datang bercuti dua hari sejak Khamis.
Beberapa video dan percutian mereka dimuat naik oleh pengguna media sosial dan Wan Aishah sendiri sebelum tular.
Satu video TikTok berdurasi 23 saat dikongsikan pemilik Restoran Bamboo Chenang, Mior Johan Johari, 32, yang juga dikunjungi oleh Wan Aishah.
“Keluarga mertua saya sudah lama mengenali keluarga Aishah di Phuket, dan Aishah sendiri pernah hadir ke majlis perkahwinan saya pada 2014.
“Aishah dan suaminya juga sudah banyak kali datang ke Langkawi,” katanya di sini, hari ini.
Mior berkata, selain restorannya di Pantai Chenang, Wan Aisyah turut melawat Underwater World Langkawi, Makam Mahsuri serta menaiki kapal layar untuk melihat matahari terbenam.
Wan Aishah didakwa menamatkan sumpah tujuh keturunan Mahsuri ke atas pulau tersebut selepas dibunuh angkara fitnah.
.Wan Aishah pernah mengunjungi Langkawi kali pertama pada tahun 2000 sempena ulang tahun ke-10 Lembaga Pembangunan Langkawi dan sejak daripada itu, namanya subur bersama kecantikan Mahsuri– UTUSAN