PETALING JAYA: Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin bekas penghidap ketumbuhan dalam mulut pada tahun 2019 yang mendapat liputan meluas sekali lagi diduga apabila dijangkiti kuman dan kini kritikal dirawat di sebuah hospital.
Perkara sedih itu dikongsi ibunya, Nurul Erwani Zaidi dalam Instagram hari ini. Menurut catatan, pemeriksaan doktor mendapati Anul Mardhiah sudah terlalu tenat disebabkan jangkitan kuman yang sudah merebak di semua tempat.
Nurul Erwani berkata, anaknya itu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) di sebuah hospital tidak dinyatakan.
“Doktor Unit Rawatan Rapi (ICU) beritahu keadaan Ainul kali ini agak kritikal dan tenat. Satu badan penuh wayar dah anak mama ini.
“Ainul mula dengan muntah-muntah dan cirit-birit dalam masa sehari. Hari kedua mama tengok Ainul sudah tak bermaya sangat sebab nampak lain sangat keadaan Ainul kali ini. Terus bawa ke (bahagian) kecemasan,” katanya.
Nurul Erwani dalam pada itu turut meminta orang ramai untuk terus mendoakan anaknya cekal menghadapi dugaan kali ini.
“Mama tak minta banyak. Mohon doakan anak kesayangan mama, Ainul Mardhiah ini jadi lagi kuat untuk lawan penyakit ini.
“Sekarang ini virus sudah dekat mana-mana. Walaupun Ainul duduk rumah saja, jaga kebersihan pun kalau nak jadi memang akan jadi. Virus ini jahat betul kacau anak mama sampai jadi macam ini,” ujarnya.
Kisah Ainul Mardhiah yang menghidap Germ Cell Tumour ketika berusia sembilan bulan pada 2019 mendapat perhatian negara apabila penderitaanya dikongsikan secara meluas.
Dr. Nur Amalina Che Bakri turut menghubungi Nurul Erwani untuk membantu Ainul Mardhiah telah menjalani pembedahan di London, United Kingdom pada Jun tahun sama dengan tumor seberat 200 gram yang membesar dalam mulut berjaya dikeluarkan.- UTUSAN