PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan mengadakan lawatan negara tujuh hari ke Turkiye bermula hari ini.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat menerusi pesawat khas di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 10 pagi ini.
Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, lawatan negara itu adalah atas jemputan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Katanya, lawatan berkenaan dijadualkan pada tahun lepas, namun ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19.
“Lawatan negara ini adalah yang pertama buat Seri Paduka berdua bagi tahun ini dan sejak Ogos 2019.
“Kali terakhir Seri Paduka berdua mengadakan lawatan negara ialah ke Indonesia selama empat hari, bermula 26 Ogos 2019,” kata kenyataan itu.
Istana Negara memaklumkan, lawatan-lawatan negara yang dijadualkan pada 2020 dan 2021 tertangguh ekoran gelombang virus Covid-19.
Katanya, esok, Al-Sultan Abdullah dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Erdogan di Istana Presiden di Ankara dan kemudian Seri Paduka berdua ke Majlis Jamuan Negara.
Menurutnya, pada Rabu, Al-Sultan Abdullah dijadualkan ke FNSS Defense Systems A.S di Ankara, manakala Raja Permaisuri pula ke Muzium Goreme di Cappadocia.
“Al-Sultan Abdullah berkenan melawat Turkish Aerospace Industries, Ankara pada Khamis manakala Raja Permaisuri pula ke Ankara Advance Technical Institute for Girls.
“Pada hari sama, Seri Paduka berdua berkenan melawat Perpustakaan Islam Diyanet di Ankara manakala Jumaat pula, baginda menziarahi Makam Abu Ayyub al-Ansari, Makam Sultan Abdul Hamid II, Masjid Besar Hagia Sophia dan Muzium Istana Topkapi di Istanbul,” katanya,
Istana Negara berkata, pada sebelah malam, Seri Paduka berdua dijadual berangkat ke Majlis Santapan bersama diaspora Malaysia di Istanbul. – UTUSAN