SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menghadiri istiadat pengebumian bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Makam Diraja selepas disolatkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira pukul 2.30 petang disusuli bacaan talkin dan doa yang turut diaminkan isteri, Puan Sri Salbiah Tunut dan ahli keluarga mengiringi Abdul Khalid dari Masjid Saidina Umar Al-Khattab di Bukit Damansara Kuala Lumpur.
Antara ribuan rakyat yang hadir, turut kelihatan adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Menteri Besar Selangor Ke-15, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Selain itu, anggota Kabinet turut hadir seperti Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.
Mewakili kerajaan negeri, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari antara yang hadir bersama beberapa Exco lain seperti Datuk Teng Chang Khim, Rodziah Ismail, Hee Loy Sian dan Mohd. Khairuddin Othman serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.
Menurut Amirudin yang pernah menjadi Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan ketika Abdul Khalid menjadi Menteri Besar, Allahyarham disifatkan sebagai seorang yang berdisiplin tinggi apabila sangat mementingkan masa serta tegas dalam melakukan urusan pentadbiran negeri.
“Allahyarham sentiasa mahu setiap kerja yang dibuat mesti melalui proses yang betul. Setiap arahan yang diberikan Allahyarham kepada Exco negeri, Exco perlu laksanakan dengan betul,” katanya ketika ditemui selepas menziarah jenazah Abdul Khalid di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini. – UTUSAN