KUBANG PASU: Sebanyak 85 peratus daripada 389,464 pelatih yang menamatkan pengajian dalam latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) di GiatMara berjaya memperoleh pekerjaan sejak ditubuhkan pada 1986.
Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Datuk Jabar Azman Jaafar berkata, ada dalam kalangan mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi selain memulakan perniagaan termasuk bergelar jutawan ketika ini.
“Kalau ikut nisbah, daripada 10 pelatih sebanyak lapan daripada mereka berjaya mendapat pekerjaan. Ada tiga keboleh pasaran yang kita ukur iaitu memperoleh pekerjaan, menjadi usahawan dan melanjutkan pelajaran.
“Kita belum berpuas hati dan akan berusaha menambah baik latihan di sini dan menarik lebih ramai pelajar ikuti latihan,” katanya selepas hadir pada Majlis Graduasi GiatMara 2022 Kedah di Kompleks Pentadbiran Kubang Pasu, di sini hari ini.
Dalam majlis itu, seramai 556 daripada 2,588 graduan memperoleh sijil kemahiran masing-masing yang terdiri daripada pelatih bagi 2019 hingga 2021.
Mengulas lanjut, kata Jabar Azman, GiatMara juga menjadi pilihan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti pelbagai kursus pada pengambilan baharu Julai lalu.
“Daripada pengambilan itu, lebih 5,000 daripada 7,877 pelatih baharu adalah lepasan SPM. Ia satu angka yang agak memberangsangkan.
“Antara kursus yang menjadi pilihan adalah, masakan, pastri, kecantikan dan elektrik. Kita juga menawarkan kursus elektronik yang mempunyai permintaan yang tinggi dalam kalangan pemain industri,” katanya. – UTUSAN