BESUT: Seramai 65 peluncur tempatan dan luar negara menyertai penerbangan luncur udara ‘Merdeka Fun Fly’ sempena sambutan Bulan Kebangsaan Ke-65 di Bukit Bubus di sini, hari ini.
Peserta luncur udara itu dari seluruh negara serta Thailand, Indonesia dan Singapura.
Pengerusi pengelola program, Fahami Zakaria berkata, acara itu adalah sebahagian daripada penganjuran Terengganu International Air Festival (TIAF) yang tersenarai dalam Kalendar Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu 2022.
“Festival ini berlangsung selama tujuh hari bertujuan mempromosikan lagi keindahan alam semulajadi di Besut kepada peminat aktiviti lasak, sukan luncur udara di peringkat antarabangsa. Terbang di udara juga adalah simbolik kebebasan yang kita nikmati sekarang yang perlu disyukuri oleh generasi muda agar keamanan negara ini berkekalan,” katanya di sini, hari ini.
Fahami memberitahu, program tersebut juga adalah antara usaha untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini.
“Kami rasa tempat ini masih boleh dimajukan dengan tambahan kemudahan dan infrastruktur untuk dijadikan salah satu lokasi penerbangan luncur udara terbaik di rantau Asean,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman pula berkata, pemilihan Bukit Bubus sebagai lokasi program TIAF 2022 adalah kerana ia semakin diminati oleh pemain sukan luncur udara tempatan dan luar negara. – UTUSAN