“DENGAN cita-cita tinggi, setinggi Dayabumi” itu antara bait lirik dalam lagu Panorama Jingga yang merupakan lagu pengenalan untuk konsert Kembara: Panorama Jingga 1444 Hijrah, yang berlangsung pada 31 Julai lalu di Dewan Plenary, Pusat
Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Menurut Datuk M.Nasir, Kembara lahir pada zaman bangunan Dayabumi didirikan berserta gelombang kerakyatan dan politik pada waktu itu, jadi seharusnya nostalgia itu wajib dikembalikan. Dan mungkin ia juga ada persamaan dengan generasi masa kini.
Terkenal sebagai sebuah kumpulan muzik yang mendalami serta menjiwai setiap isu masyarakat dan puisi melalui karya seni yang dipersembahkan, Kembara yang ditubuhkan pada era awal 80-an oleh tiga figura berbakat iaitu, M.Nasir, A.Ali dan S.Sahlan menjadi antara kumpulan dambaan anak muda di kala itu.
Dalam masa singkat Kembara meniti populariti dengan kelasnya yang tersendiri. Lagu-lagu hits seperti Ekspres Rakyat, Hati Emas, Gerhana, Senandung Buruh Kasar antara lagu siulan anak muda ketika itu.
Namun, perjuangan mereka tidak kekal lama apabila S. Sahlan mengundurkan diri, sambil dikuti oleh A. Ali.
Demi meneruskan legasi kumpulan tersohor ini, M. Nasir akhirnya membawa masuk empat anggota baharu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan.
Merekalah yang meneruskan perjuangan Kembara untuk kekal relevan sehingga ke hari ini. Pada malam itu, nostalgia perjalanan Kembara selama lebih 40 tahun akhirnya disatukan dalam konsert yang cukup berprestij.
Konsert yang menampilkan gabungan tenaga dan kehebatan vokal M. Nasir bersama Zoul (gitar utama,vokal), Rahman Suri (bass), Shahrum Basiron (dram) dan Md. Shah Othman (keyboard) berjaya memukau hampir 2,600 penonton yang hadir.
Membuka pentas dengan lagu Panorama Jingga, Tarian Hidup dan Duit yang turut diiringi oleh dua pemuzik undangan iaitu Kuzai (gitar) dan Adam (keyboard) merupakan aksi pemanas badan buat kumpulan otai ini.
Dalam seriusnya, M.Nasir selaku vokalis utama sempat memberitahu penonton bahawa kumpulan yang tampil denganalbum pertama pada 1981 ini tidak pernah mengisytiharkan bila ditubuhkan dan bila berpecah.
“Kembara tidak pernah isytihar ditubuhkan dan berpecah. Sebahagian anggota termasuk saya bekerja di studio. Kita gabung waktu album 1404 Hijrah.
“Kita ada lebih kurang tujuh album dan kira-kira 70 lagu. Kita akan nyanyi 70 lagu sampai Zuhur esok,” guraunya yang sekali gus menggamatkan dewan dengan hilai ketawa.
Walaupun rata-rata penonton yang menyaksikan konsert ini terdiri daripada ‘otai-otai rock’ dan orang lama, mereka menyifatkan persembahan pada malam itu cukup istimewa, apatah lagi selepas kali terakhir kumpulan ini muncul di pentas besar, Istana Budaya pada 2014.
Persembahan yang berlangsung selama tiga jam menerusi seleksi 30 lagu popular yang dipersembahkan bagaikan magis yang sukar dilupakan apabila lontaran padu vokal dan iringan muziknya berjaya menusuk dan membuai perasaan pendengar.
Antara lagu-lagu yang dipersembakan pada malam itu termasuk Kepada Mu Kekasih, Gadis Berpurdah Hitam, Mencurah Janji Di Daun Keladi, Keroncong Untuk Ana, Nyanyian Jiwa dan lagu yang paling ditunggu-tunggu peminat, Gerhana.
Selain itu, Kembara turut memainkan beberapa lagu rare yang pernah dirakamkan lebih daripada 30 tahun lalu, namun tidak pernah dimainkan dalam mana-mana persembahan pentas sebelum ini.
Pasti ada yang bertanya bagaimana lagu-lagu yang berusia hampir 40 tahun ini kekal relevan dan terus diminati walaupun berbeza zaman, M.Nasir punya jawapan tersendiri.
“Kelainan yang dibawakan Kembara pada awal penubuhannya adalah melalui lirik yang bertemakan kerakyatan. Lagu-lagu Kembara adalah suara satu generasi. Ini bukan muzik lama tapi muzik sekarang. Bila kita buat muzik, kita tidak hanya tuju kepada generasi itu (80-an) sahaja. Dan bentuk muzik akan menjangkau generasi,” jelasnya.
Walaupun Kembara membawakan satu dimensi muzik yang berbeza dari sudut senikata dan iramanya, ia masih kekal bertemakan isu kehidupan masyarakat dan rakyat. Itu merupakan kunci khas yan gmembuatkan lagu mereka tetap diminati dan diingati sehingga kini.
Kemunculan tetamu istimewa penyair tersohor, Pyanhabib sekali gus memeriahkan suasana pada malam itu. Sebuah puisi yang diperdengarkan sekali gus membawa penonton mengimbau ingatan kepada watak ikonik Osman Tikus lakonannya di dalam
filem Kembara Seniman Jalanan yang popular pada sekitar 1986.
Menampilkan beberapa lagu terbaik dalam filem tersebut ternyata mengimbau pelbagai nostalgia, lagu Sesat Di Kuala Lumpur misalnya, menyuntik perasaan pendengar sehinggakan seluruh penonton di dalam dewan turut menyanyi bersama.
Menyediakan segmen khas dalam menghayati hasil karya A.Ali yang meninggal dunia pada 21 November 2020 harus
diberikan pujian. Lagu-lagu popularnya seperti, Ada Sepasang Mata, Di Perhentian Puduraya yang dinyanyikan secara medley
cukup menyentuh perasaan.
Ternyata selepas hampir lapan tahun tidak mengadakan persembahan berskala besar, konsert yang berlangsung kali ini bagaikan melunas janji kepada peminat setia kumpulan ini.
Bukan sahaja soal persembahan yang patut mendapat perhatian,
malah ketahanan mental dan fizikal setiap anggota yang rata-rata sudah melewati angka setengah abad terutamanya M.Nasir yang mampu menyampaikan 30 lagu secara terus tanpa henti harus diberi pujian.
Menutup konsert dengan lagu popular Gerhana, penonton dilihat tidak melepaskan peluang untuk bangun dan menyanyi bersama, sekali gus menggamatkan suasana di dalam dewan.
Rata-rata penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan peringkat umur kelihatan puas sehinggakan ada yang menitiskan air mata kerana dapat melunaskan rindu berhibur dengan kumpulan yang cukup bernostalgia ini.
Penulis berharap ini bukan persembahan terakhir buat Kembara. Seharusnya kumpulan ini perlu mengambil peluang untuk mengadakan siri jelajah selepas ini memandangkan tempoh satu malam yang diberikan amatlah singkat.
Terima kasih kepada penganjur Shiraz Projects Sdn. Bhd. yang berjaya meleraikan rindu peminat terhadap kumpulan ini. Nostalgia ini pastinya tidak akan luput malah menjadi penyumbang kemanisan untuk diceritakan pada waktu akan datang.