KUALA SELANGOR: Seramai 49,103 individu yang bekerja sendiri di Selangor dikenal pasti masih tidak membuat caruman dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) khususnya mereka yang terlibat dalam ekonomi gig seperti e-hailing atau p-hailing serta peladang dan peniaga kecil.
Pengarah Perkeso negeri, Zainol Abu berkata, statistik pihaknya mendapati seramai 359,531 individu sudah mendaftar sebagai pencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSS) yang dilancarkan pada Jun 2017 merangkumi 70,987 pendaftaran bagi semua sektor pekerjaan sendiri sehingga Mac lalu.
“Ia dianggap masih rendah kerana kita mensasarkan seramai 120,000 pencarum baharu menjelang hujung tahun ini. Justeru, kita mengharapkan semua individu yang bekerja sendiri itu tampil membuat caruman demi kebajikan mereka sendiri.
“Faktor itu antaranya kerana kurang pengetahuan atau maklumat mengenai kepentingan SKSPS sebagai jaminan masa depan mereka jika ditimpa kemalangan. Kita perlu sedar bahawa kemalangan itu sememangnya tidak boleh dijangka terutama ketika sedang bekerja tanpa mengira sektor,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) Perkeso kepada keluarga mendiang E. Darwin Liew, 23, di Taman Paduka, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan penghantar makanan itu maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori bermuatan kelapa di Kilometer 44 Jalan Klang-Teluk Intan di sini, pukul 4.33 petang, 4 Ogos lalu.
Tambah beliau, jumlah caruman skim itu hanya serendah RM13.10 sebulan dan RM157.20 setahun dengan jumlah pendapatan bulanan minimum RM1,050.
“Banyak faedah diperoleh kepada pencarum antaranya perubatan, hilang upaya kekal, pengurusan mayat dan faedah pendidikan.
“Individu bekerja sendiri boleh mendapatkan maklumat mengenai perkara itu secara dalam talian di https://matrix.perkeso.gov.my atau terus hadir ke cawangan Perkeso berhampiran,” ujarnya. – UTUSAN