45 buah sekolah di Kelantan catat kelulusan 100 peratus STPM - Utusan Malaysia

45 buah sekolah di Kelantan catat kelulusan 100 peratus STPM

MOHD. Zin Halim (depan dua dari kiri) bersama warga JPN Kelantan pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM Tahun 2021 di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan mencatatkan keputusan membanggakan dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 apabila 45 daripada 60 buah sekolah memperoleh kelulusan 100 peratus.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan, Mohd. Zin Halim berkata, walaupun tiada anugerah calon terbaik di peringkat nasional atau negeri namun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas dinobatkan sebagai sekolah terbaik untuk peperiksaan tersebut.

Menurutnya, seramai 13 calon dari sekolah berkenaan mendapat kelulusan penuh dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 melibatkan lapan calon perempuan dan lima pelajar lelaki.

“Untuk makluman bagi STPM 2021, Kelantan mencatat sebanyak 99.36 peratus kelulusan penuh, iaitu 0.81 peratus mengatasi kelulusan peringkat nasional yang dicatatkan pada 98.55 peratus.

“Peratus kelulusan penuh tersebut melibatkan seramai 3,399 calon di seluruh negeri ini sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 0.01 peratus berbanding 2020,” katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Tahun 2021 di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Bandar Baru Tunjung, di sini hari ini.

Mohd. Zin memberitahu, calon yang mendapat keputusan lima prinsipal dan empat prinsipal bagi peperiksaan 2021 adalah seramai 2,835 calon atau 82.92 peratus berbanding seramai 2,993 calon atau 80.87 peratus tahun sebelumnya sekali gus menunjukkan peningkatan peratusan sebanyak 2.05 peratus.

Katanya, PNGK STPM 2021 untuk calon sekolah kerajaan di negeri ini adalah 2.92, mengatasi 0.13 mata berbanding peringkat nasional yang dicatatkan pada 2.79 mata.

“Apa yang membanggakan kami, peratus kelulusan empat dan lima prinsipal bagi sekolah kerajaan negeri ini juga mengatasi pencapaian di peringkat nasional sebanyak 9.69 peratus. Untuk STPM 2021 terdapat enam calon STPM dalam kalangan masyarakat Orang Asli menunjukkan pencapaian memberangsangkan.

“Dua pelajar Orang Asli yang terbaik itu adalah calon dari SMK Tengku Indera Putera 1 Gua Musang iaitu Mangli Alun dengan PNGK 2.42 dan Rodif Seli dengan PNGK 2.17,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya