MARANG: Seramai 30,000 pegawai dan anggota bomba di seluruh negara bersiap siaga menghadapi tugas dalam setiap operasi kebombaan serta penyelamatan yang semakin mencabar.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, jumlah tersebut terdiri daripada 13,000 pegawai bomba tetap di 327 buah balai bomba dan lebih 2,000 pegawai bomba bantuan serta lebih 13,000 pegawai bomba sukarela di seluruh negara.
Katanya, jumlah kekuatan anggota tersebut diperlukan JBPM bersekali dengan aset kebombaan moden, bagi mendepani pelbagai cabaran operasi terutama dalam mengendalikan lebih 150,000 panggilan kecemasan setiap tahun.
“Kementerian meletakkan soal kesiapsiagaan kebombaan dan penyelamatan sebagai salah satu daripada enam fokus utama kementerian bagi tahun 2022 ini yang mana ia mendokong matlamat dan Aspirasi Keluarga Malaysia.
“Selain itu ia adalah inisiatif ke arah mencapai agenda kementerian bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berdaya huni ataupun ‘liveable’ Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perbarisan Pentauliahan Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2022 Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, dekat sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 737 pegawai bomba KB19 yang terdiri daripada 686 pelatih lelaki dan 51 pelatih wanita menerima pentauliahan sijil tersebut.
Reezal Merican berkata, pengambilan 737 anggota baharu itu bagi mengisi kekosongan keanggotaan di seluruh negara dan diharap dapat memberi impak terhadap kekuatan sedia ada.
“Saya juga difahamkan pada hari ini seramai 40 anggota bomba daripada agensi-agensi swasta Johor Port, Penang Port, Bintulu Port, Northport dan Wehaya Sdn. Bhd. turut sama ditauliahkan.
“Peranan bomba swasta juga amat penting bagi memberikan respon kebombaan dan penyelamatan di lokaliti masing-masing,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM40 juta untuk pembangunan Fasa 3 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur yang meliputi pembangunan fasiliti latihan seperti pembinaan ‘Simulator Swift Water Training’ dan Kompleks Latihan Penyelamatan di Air.
“Saya yakin, dengan adanya fasiliti-fasiliti latihan moden yang dilengkapi dengan teknologi terkini ini bukan sahaja menjadi mercu tanda kecemerlangan latihan kebombaan dan penyelamatan malah akan meningkatkan lagi tahap kemahiran anggota jabatan dalam pengurusan insiden kecemasan,” katanya. – UTUSAN