KOTA BHARU : Kira-kira 20 hingga 30 peratus peserta Program Ladang Rakyat di Kelantan keluar daripada paras kemiskinan sejak program tersebut dilancarkan 16 tahun lalu.
Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan, Mohd. Zain Mat berkata, jumlah tersebut adalah statistik perbadanan itu dengan semua peserta menerima dividen kira-kira RM161 juta sepanjang tempoh berkenaan.
Katanya, sebahagian dividen sebanyak RM4 juta bagi tahun ini sudah diagihkan melibatkan seramai 4,713 peserta di seluruh negeri ini.
“Setiap peserta menerima RM200 sebulan dan kebiasaannya pembayaran dibuat secara terkumpul. Contohnya pada kali ini, bayaran dividen dilakukan untuk lima bulan sekali gus.
“Jadi, setiap peserta Program Ladang Rakyat akan menerima RM2,400 setahun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Himpunan Perdana Peserta Ladang Rakyat Negeri Kelantan dan Pembahagian Dividen Ladang Rakyat Peringkat Ke-56 di sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Mohd. Zain memberitahu, statisik berkenaan bukan yang terbaharu berikutan Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan tidak dapat membuat bancian sejak dua tahun kebelakangan ini.
Katanya, masalah berkenaan adalah disebabkan oleh kekangan Perintah Kawalan Pergerakan dan penularan jangkitan Covid-19 yang turut menjejaskan peserta ladang rakyat. – UTUSAN