SETIU: Kadar pengeluaran produktiviti sektor akuakultur bagi komoditi udang marin di negeri ini terus meningkat apabila sebanyak 2,077 metrik tan udang putih dipasarkan pada sepanjang tahun lalu.
Pengerusi Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, pengeluaran udang putih itu melibatkan tiga pengusaha udang putih di sini.
Menurutnya, udang putih yang dipasarkan itu dapat menjana pendapatan sehingga RM48 juta.
Selain itu katanya, sebanyak 336 juta ekor benih udang putih bernilai RM3.36 juta berjaya dikeluarkan melibatkan dua pengusaha dalam tempoh sama di negeri ini.
“Jumlah pengeluaran udang putih meningkat daripada 1,854 metrik tan bernilai RM42.53 juta pada 2020 dan ia selari dengan pelaksanaan Pelan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025.
“Projek penternakan udang putih ini bukan hanya menjadi sumber makanan bagi pasaran tempatan dan eksport tetapi juga menyediakan lebih 200 peluang pekerjaan dengan penggunaan teknologi moden,” katanya selepas melawat Ladang Akuakultur Ternakan Udang Bersepadu i-Sharp di Kampung Nyatoh di sini hari ini.
Dr. Azman memberitahu, projek akuakultur tersebut adalah terbesar di Terengganu yang dimulakan sejak 2011.
Beliau berkata, Fasa 2 ladang terbabit apabila siap kelak mampu menempatkan 400 lagi kolam ternakan dan mengeluarkan 5,000 metrik tan udang dalam tempoh setahun.
“Ladang ternakan itu merupakan antara 18 projek bernilai lebih RM700 juta yang sedang berjalan di Setiu yang juga hab pengeluaran makanan bagi Terengganu,” jelasnya. – UTUSAN