20,000 peserta meriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2022

20,000 peserta meriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2022

ANNUAR Musa (tengah) meninjau raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia 2022 di Dataran Merdeka hari ini. - FOTO/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsaan 2022 dijangka mendapat sambutan luar biasa pada Rabu ini berikutan sudah dua tahun ia tidak diraikan susulan pandemik Covid-19 yang berlaku. 

Dengan kekuatan hampir 20,000 peserta, pelbagai persembahan dan acara penuh gilang-gemilang bakal dipamerkan di 2022 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. 

Berikutan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan orang awam digalakkan untuk datang awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Hari ini kita lakukan raptai penuh dengan beberapa penambahbaikan dibuat, termasuk daripada segi masa yang harap dapat dikekalkan pada hari sebenar nanti.

“Dari segi penyertaan, ia meningkat dari 10,000 peserta dengan terkini jumlah keseluruhan perarakan membabitkan 20,000 peserta,” katanya selepas raptai penuh perarakan di Dataran Merdeka, hari ini.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 turut berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan dan susun atur acara yang baik.

“Kita mahu penghayatan sambutan hari kemerdekaan disusuli di tempat, rumah dan komuniti masing-masing.

“Sambutan kali ini juga mendapat perhatian orang ramai, malah ia bilangan peserta dan aset terbesar pernah kita lakukan,” katanya lagi. 

Dataran Merdeka menjadi lokasi bersejarah yang menyaksikan peristiwa penting penurunan bendera Union Jack dan pengibaran Jalur Gemilang buat pertama kali pada tengah malam 31 Ogos 1957. Sejak itu ia menjadi tempat perarakan sambutan Hari Kebangsaan.

Acara pada 31 Ogos akan dimulakan dengan ketibaan rasmi pembesar negara, sebelum keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan menaiki kereta kuda diraja.

Ia diikuti lintasan hormat pesawat membawa Jalur Gemilang serta tembakan 14 das meriam yang menjadi antara acara tradisi sambutan Hari Kebangsaan.

Lebih menarik, penonton akan disajikan dengan lintasan kereta berhias atau float daripada kontinjen pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan seperti kereta berhias gabungan syarikat telekomunikasi tempatan serta float yang membawa replika satelit MEASAT yang menjadi antara tumpuan utama pada hari berkenaan.

Acara Hari Kebangsaan pastinya tidak lengkap tanpa pertunjukan jentera dan aset ketenteraan dan keselamatan, malah menjadi segmen kemuncak dinantikan Keluarga Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya