PETALING JAYA : Kekosongan jawatan nombor satu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akhirnya diisi selepas Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Zazuli Johan dilantik sebagai Ketua Pengarah Kastam berkuat kuasa 1 Julai lalu.
Zazuli, 60, adalah pegawai paling kanan di agensi berkenaan dan pernah bertugas di beberapa negeri antaranya sebagai Penolong Ketua Pengarah Kastam Wilayah Tengah sebelum dinaikkan pangkat ke Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri).
Utusan Malaysia difahamkan, turut dinaikkan pangkat ialah Datuk Abdullah Jaapar sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) berkuat kuasa 1 Julai lalu.
Untuk rekod, jawatan nombor satu dan nombor dua agensi berkenaan mula kosong pada 24 Mac lalu selepas penyandangnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir bersara wajib manakala Datuk Abdul Wahabi pula meninggalkan pasukan pada pertengahan Februari lalu.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan Jabatan Kastam menggantikan pelantikan itu.
Pada 4 Julai lalu, Jabatan Kastam menerusi hantaran di laman rasmi Facebook agensi itu memaklumkan pelantikan Zazuli bagi Menanggung Tugas-Tugas (MTT) Ketua Pengarah Kastam Malaysia berkuat kuasa 30 Jun sehingga jawatan berkenaan diisi secara hakiki. –UTUSAN