Zalina masih waras

Zalina masih waras

RAS ADIBA RADZI dan ZALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas personaliti TV3, Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November lalu didakwa masih waras, malah kehilangan beliau juga tidak mungkin mempunyai sebarang unsur jenayah.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, kali terakhir bertemu dengan Zalina Shaharah Azman, 58, sekitar tahun 2020 dan menyedari keadaan tubuh badannya agak susut tetapi masih kekal aktif dan ceria.

“Masa saya jumpa dia, memang nampak tubuh badannya agak susut. Tetapi, saya tak tanya kenapa, sakit ke. Tetapi, dia kekal macam itu, sangat ramah, suka bercakap. Tak adalah hendak tanya banyak-banyak.

“Pada saya dia mungkin sakit ataupun sesuatu yang tidak dibincangkan dengan kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Ras Adiba yang mesra dengan panggilan Kak Dib, beliau juga berusaha menghubungi keluarga Zalina yang tidak diketahuinya tempat tinggal terkini mereka untuk bersama-sama mencari bekas pengacara itu.

“Mungkin mereka cuba berhubung dengan kita, tetapi kita pun usaha mencari (Zalina) jugalah. Rumah Zalina dekat Seksyen 3 itu memang sudah lama kosong,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ras Adiba yang juga bekas personaliti TV3 turut menafikan Zalina mempunyai musuh yang boleh mengancam keselamatan hidupnya.

“Zalina ini orang yang kelakar, ada musuh pun, jauh sekalilah. Tetapi, sebenarnya dalam hidup kita pun tak tahu. Mungkin ada orang tak suka kita sebab berada dalam industri media. Tetapi, Zalina memang tidak aktif selepas meninggalkan TV3 termasuklah dalam dunia penyiaran.

“Saya tidak fikir (kaitan jenayah) akan berlaku, mungkin dia tidak berapa sihat sahaja atau ada masalah lain. Itu sahajalah yang kami risau dan memang hendak sangat jumpa dia. Kita hendak tahu dia ok,” jelasnya.

Katanya lagi, Zalina juga tidak aktif dalam media termasuk penyiaran selepas meninggalkan TV3, sebaliknya beliau menjadi penulis buku seperti ‘Mystical Mangala’ dan ‘V for Vintage’.

Zalina berkhidmat dengan stesen TV swasta milik Media Prima Berhad pada 1990 sebelum terbang ke London pada 2002 untuk menyambung pengajian peringkat Sarjana dalam bidang kewartawanan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya