KUANTAN: Kerajaan negeri menawarkan diskaun 40 peratus bayaran balik pinjaman pendidikan Yayasan Pahang kepada peminjam-peminjam bersempena ulang tahun ke-40 penubuhan yayasan berkenaan sejak 1982.
Diskaun itu akan diberikan kepada peminjam yang menyelesaikan bayaran secara penuh ke atas baki pinjaman termasuk baki caj-caj lain bermula 1 Ogos hingga 31 Disember ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu merupakan keprihatinan kerajaan negeri bagi membantu peminjam menyelesaikan baki pinjaman mereka.
Katanya, ia sekali gus membolehkan lebih ramai anak negeri ini berpeluang membuat pinjaman dengan Yayasan Pahang bagi mendapatkan akses pendidikan sempurna serta melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Langkah ini juga dilaksanakan bagi membantu sebahagian besar rakyat termasuk peminjam-peminjam yang terkesan akibat penularan Covid-19 sejak dua tahun lalu serta ekoran peningkatan kos sara hidup ketika ini.
“Saya berharap agar peminjam memanfaatkan penawaran ini sebaik mungkin dan seterusnya menjalani kehidupan yang lebih baik serta bebas daripada bebanan hutang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Rosdy dalam pada itu berkata, pada tahun lalu, Yayasan Pahang pernah menawarkan diskaun 20 peratus dan sepanjang tempoh tersebut, seramai 608 peminjam menyelesaikan baki hutang dengan implikasi rebat RM719,259.26 serta pengurangan pinjaman RM3.6 juta.
“Sejak penubuhannya sehingga kini (1982 hingga 2021), Yayasan Pahang membelanjakan RM1.4 bilion untuk pinjaman pendidikan bagi manfaat 1.684 juta orang penerima di seluruh Pahang,” katanya. – UTUSAN