Warga Kemboja kuasai pasaran ikan air tawar

Warga Kemboja kuasai pasaran ikan air tawar

SANGKAR ternakan ikan patin yang diusahakan warga Kemboja di Sungai Perak ketika tinjauan di Parit, baru-baru ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Penternak ikan dalam sangkar Sungai Perak sekitar daerah Perak Tengah terutama di Parit, tertekan dengan kehadiran semakin ramai warga asing dari Kemboja yang menternak dan menguasai pasaran ikan air tawar daerah ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penternak ikan yang enggan namanya disiarkan berkata, warga Kemboja yang tinggal menyewa rumah penduduk di beberapa buah kampung di sini, mengusahakan ternakan ikan sangkar seperti patin, tilapia dan baung.

Katanya, kegiatan itu sebenarnya sudah lama bermula namun penguasaan mereka semakin ketara sejak kebelakangan ini apabila semakin ramai warga Kemboja tinggal di situ.

Guna perut ayam sebagai makanan ikan

Katanya, penternak warga Kemboja berupaya menawarkan harga ikan lebih rendah kerana dapat menjimatkan kos disebabkan operasi yang tidak mengikut syarat ditetapkan dengan cara memberi ikan makan perut ayam berbanding penternak tempatan yang menggunakan pallet.

“Penggunaan perut ayam sebagai makanan ikan membolehkan mereka menjimatkan kos berbanding menggunakan pallet sepertimana penternak tempatan tetapi ini menyebabkan pencemaran sungai dan bau yang busuk.

“Dengan cara itu, mereka boleh menjual ikan pada harga rendah contohnya ikan patin RM15 sekilogram oleh penternak tempatan tapi mereka jual serendah RM11 sekilogram.

“Malah mereka pernah ‘pancung’ pelanggan saya dari Temerloh kerana menawarkan harga ikan yang lebih rendah berbanding yang saya tawarkan.

“Saya hanya sempat menjual kepada pembeli dari Temerloh itu selama dua bulan, selepas itu pelanggan saya itu membeli pada penternak Kemboja yang menawarkan harga lebih murah,” katanya.

Menurutnya, warga Kemboja tinggal di beberapa buah kampung di sini dan menjalankan ternakan ikan sangkar antaranya di Kampung Bidara, Bukit Chupak, Padang Kangar, Tanjung Dedalu, Sadang, Kampung Selboh, Kampung Tengah malah hingga di Kampung Mandah di Daerah Kuala Kangsar.

Katanya, mereka menguasai pasaran ikan di pasar-pasar daerah ini termasuk di Parit, Seri Iskandar, Bota dan hingga ke luar Perak.

Semakin hari semakin ramai

Katanya, kehadiran warga Kemboja semakin bertambah sejak kebelakangan ini dan semakin ghairah mencari kekayaan dengan menternak ikan sangkar.

Jelasnya, mereka menyewa rumah penduduk kampung di tepi sungai dan memujuk pemilik tanah untuk membenarkan mereka mengusahakan ternakan ikan sangkar di sungai.

“Pada awalnya mereka datang tidak ramai dan mengusahakan ternakan ikan sangkar. Apabila keadaan aman damai, maksudnya tiada sebarang operasi pihak berkuasa terhadap mereka sebagai rakyat asing, mereka mengajak saudara mara dan rakan-rakan di kampung mereka di Kemboja untuk bekerja dengan mereka.

“Mereka yang datang ini masuk ke negara ini sebagai pelancong, bukan sebagai pekerja. Lama kelamaan jika tiada sebarang penguat kuasaan dijalankan, mereka panggil lagi saudara dan rakan-rakan mereka di Kemboja, ini menyebabkan jumlah mereka semakin ramai.

“Namun di sini mereka tidak tinggal secara beramai-ramai, satu kampung mungkin dua atau tiga keluarga tetapi mempunyai rangkaian atau hubungan dalam ternakan ikan dalam sangkar di kampung-kampung lain,” katanya.

Katanya, warga Kemboja ini menjalankan perniagaan di pasar minggu di daerah ini selain menjual sayur dari rumah ke rumah penduduk kampung di daerah ini.

“Mereka mengawal harga ikan air tawar di Perak Tengah kerana menawarkan harga yang rendah.

“Apa yang membimbangkan, kaedah ternakan yang tidak mengikut peraturan ditetapkan mencemar Sungai Perak. Umpamanya mereka membuang guni bekas perut ayam ke dalam sungai sehingga pernah berlaku bot nelayan hampir terbalik akibat guni tersangkut pada enjin bot,” katanya.

Sumber itu berharap pihak penguat kuasa menjalankan operasi menahan warga Kemboja yang melanggar peraturan masuk ke negara ini kerana percaya ramai di antara mereka yang tinggal melebihi tempoh masa ditetapkan.

Kumpul kekayaan, beli tanah penduduk

Selain menguasai pasaran ikan air tawar di Perak Tengah, penduduk tempatan bimbang warga Kemboja mengambil kesempatan membeli tanah penduduk kerana mereka mempunyai wang yang banyak hasil ternakan ikan di Sungai Perak.

Seorang penduduk tempatan yang enggan namanya disiarkan berkata, tidak diketahui secara jelas sama ada terdapat tanah penduduk yang telah dibeli oleh warga Kemboja namun apa yang menjadi kemusyikilan adalah ada warga Kemboja di sini yang dilihat membina rumah.

Katanya, jika tanah yang diduduki mereka tidak dibeli atau hanya menyewa, bagaimana warga asing itu boleh membina rumah.

“Memang ada orang berasal dari Kemboja yang mempunyai kad pengenalan setelah berkahwin dengan rakyat tempatan dan membeli tanah serta membina rumah hasil daripada ternakan ikan sangkar yang mereka jalankan.

“Namun ada juga warga Kemboja di sini yang apabila ditanya, mereka kata mereka cuma menyewa rumah penduduk tetapi saya lihat mereka membina rumah baharu. Malahan siap di pasang pagar lagi. Jika cuma menyewa mengapa hendak bina rumah?

“Inilah yang membimbangkan kami yang jika dibiarkan mungkin ada tanah dibeli oleh orang asing kerana mereka banyak duit hasil pekerjaan menternak ikan sangkar, boleh beli apa saja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, diakui warga Kemboja mempunyai wang yang banyak hasil daripada aktiviti ternakan ikan sangkar selain menjual sayur kepada penduduk di kampung-kampung menaiki motosikal.

Katanya, dengan kemampuan kewangan yang mereka miliki, mereka boleh membeli tanah lebih tinggi daripada yang ditawarkan oleh penduduk tempatan.

“Sudah ada mereka yang asalnya warga Kemboja namun mempunyai kad pengenalan membeli tanah dan membina rumah besar. Mereka juga mampu membeli kereta secara tunai, juga memiliki lori untuk menghantar ikan kepada pembeli,” katanya.

Mampu pandu kereta mahal

Menurutnya, kehadiran warga Kemboja di sini tidak seperti warga asing yang lain seperti warga Indonesia yang datang hanya untuk bekerja.

Katanya, namun berlainan bagi warga Kemboja yang datang ke sini dan berniaga, mengumpul kekayaan sehingga menjejaskan peluang orang tempatan.

“Dari segi sosialnya, mereka ini ada juga yang bergaul dengan penduduk tempatan tetapi tengok status, kalau yang sudah bergelar tauke, jarang bergaul dengan kami. Yang bergaul cuma mereka yang biasa-biasa atau yang bagi yang baru sampai ke sini, kerap nampak mereka di surau, melaungkan azan, tapi apabila sudah kaya nampak egonya.

“Saya perhatikan mereka ini mempunyai satu sikap iaitu datang ke sini mencari kekayaan. Mereka datang ke sini tak akan jadi kuli, dia mesti nak jadi tauke, kalau boleh orang tempatan yang kerja dengan dia.

“Di sini mereka berpakaian biasa, tapi kalau bercuti, cukup bergaya dari segi pakaian dan bercuti di tempat yang agak mewah. Nampak ‘sengkek’ tapi berduit pakai, pandu kereta mahal seperti Toyota Estima yang dibeli tunai, tak ada hutang,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya