KOTA KINABALU: Aktiviti memancing bertukar tragedi apabila seorang wanita dibaham buaya di sungai berhampiran Kampung Tanjung Bulat, Sinar Jaya, Kota Kinabatangan semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa, Norsila Sayong, 32, disahkan meninggal dunia ketika ditemukan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.42 petang dan sekumpulan pegawai serta anggota bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 12 kilometer dari balai.
Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, seorang mangsa wanita dipercayai dibaham buaya semasa sedang memancing di sungai berkenaan.
Mangsa ditemukan oleh orang awam bersama pasukan penyelamat pada jarak 800 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
Mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN