PETALING JAYA: Penyerang veteran, Amri Yahyah membuktikan dia masih berbisa pada usia 41 tahun apabila meledak dua gol ketika membantu Sabah menumpaskan Melaka United dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam ini.
Ketinggalan 0-1 pada babak pertama menerusi jaringan Ifedayo Olusegun, skuad Sang Badak bagaimanapun menyerap sokongan padu penonton untuk bangkit dengan dua gol pada separuh masa kedua.
Amri yang mesra disapa Wak Am berjaya mencipta impak sebaik sahaja dibawa masuk menggantikan Stuart John Wilkin apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-61 selepas menyudahkan hantaran Alto Linus.
Penyerang kelahiran Selangor itu muncul wira Sabah apabila menyempurnakan hantaran Muhammad Farhan Roslan pada minit ke-90 untuk memastikan tiga mata penuh milik tuan rumah.
Perlawanan itu turut menyaksikan dua pemain, Ahmad Haziq dari Melaka United dan Rawilson Batuil dari Sabah FC dilayangkan kad merah kerana mengasari lawan. – UTUSAN ONLINE