KUALA LUMPUR: Pelakon, Vanidah Imran mengejutkan ramai apabila dia kini sah bergelar isteri kepada Arifabillah Idris dalam satu majlis pernikahan hari ini.
Dengan sekali lafaz, Vanidah, 49, menjadi milik Arifabillah, 43, yang merupakan seorang jurutera.
Majlis pernikahan pasangan berkenaan dikendalikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Muhammad Fairudz Saderi dengan berwalikan adik Vanidah, Johan di sebuah premis di Titawangsa, di sini, sekitar pukul 12.12 tengah hari.
Pada majlis pernikahan yang dihadiri 50 tetamu terdiri dalam kalangan keluarga dan teman rapat, Vanidah dan Arifabillah sepakat untuk tidak berkongsi jumlah wang hantaran sebagai memenuhi permintaan keluarga.
Pelakon filem Perempuan Melayu Terakhir dan Red Kebaya itu turut menerima mas kahwin berbentuk seutas rantai emas daripada suaminya selain masing-masing berbalas dua dulang hantaran.
Dalam majlis berlangsung sederhana namun penuh bermakna sentuhan perancang perkahwinan @ezsconcept itu, Vanidah mengenakan pakaian rekaan Rizman Ruzaini dan solekan oleh Syed Faizal.
Kembali bergelar isteri, kata Vanidah, bukan seuatu yang mudah, namun berkat restu seluruh ahli keluarga dan sokongan rakan-rakan, niat baik itu dipermudahkan Allah.
Justeru, sebelum tiba hari bahagia itu, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-20 tersebut memilih mengunci mulut tanpa menghebahkannya.
“Sejujurnya yang hanya tahu saya dan Arifabillah mempunyai hubungan istimewa hanyalah kawan rapat selain keluarga dan dua anak saya, Mikail Aimran dan Maryam Rashika.
“Kawan rapat pun hanya dimaklumkan saya beberapa hari sebelum majlis pernikahan. Ada antara mereka terkejut dengan berita ini, namun dalam masa tumpang gembira terhadap keputusan dibuat,” ujarnya.
Kata Vanidah, sejujurnya dia gembira dan bersyukur kerana bertemu jodoh dengan Arifabillah yang memiliki persamaan dengannya.
Jelas Vanidah, dia dan suaminya, berpengalaman melalui kegagalan dalam perkahwinan pertama serta dikurniakan anak, justeru, persefahaman lebih mudah dicapai.
“Kami pernah berkahwin. Masing-masing pernah melalui pengalaman hidup berumah tangga. Dia sebelum ini berstatus duda kepada empat cahaya mata.
“Jadi paling utama dalam memutuskan soal membina masjid kami, perasaan dan hati anak-anak perlu diutamakan,” kata Vanidah yang kini bertugas sebagai pensyarah Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM). – UTUSAN