USSB kembang sayap ke China, bekal pelet dari kelapa sawit - Utusan Malaysia

USSB kembang sayap ke China, bekal pelet dari kelapa sawit

AZMAN (depan kiri) dan Kumaravello Pillai bertukar perjanjian persefahaman selepas majlis menandatangani dokumen tersebut, baru-baru ini. UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA-Syarikat Usaha Strategik Sdn. Bhd (USSB) melangkah setapak lagi apabila memeterai perjanjian persefahaman pembekalan pelet yang diproses dari kelapa sawit untuk aktiviti pertanian di sebuah wilayah di bahagian utara China.

Menurut Pengarah Urusan USSB, Azman Mat Isa, pelet hasil kaji selidik syarikat USSB dengan kerjasama beberapa pihak itu amat berkualiti dengan kandungan nutrien yang tinggi serta membantu mempercepatkan proses penanaman cendawan.

“Permintaan pelet tersebut dibuat oleh sebuah syarikat besar dari Wilayah Henbei yang berjaya dalam industri tanaman cendawan besar-besaran, sekali gus mempertingkatkan pendapatan penduduk tempatan dan keluar dari kepompong kemiskinan.

“Banyak kelebihan dan manfaat kejayaan penghasilan pelet dari sawit ini. Antaranya, ia juga boleh dijadikan Animal Bedding bagi kegunaan haiwan ruminan seperti lembu,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Pembekalan Pelet di Puchong, baru-baru ini.

Selain Azman, perjanjian persefahaman tersebut turut dimeterai oleh Pengarah Eksekutif USSB, Za’im Hadi Meskam dan Pengarah UT Advisor Sdn. Bhd, Kumaravello Pillai sebagai wakil syarikat dari China.

Mengulas lanjut, beliau berkata, melalui beberapa proses tambahan formulasi, pelet tersebut juga berpotensi untuk dijadikan makanan haiwan ternakan.

Katanya lagi, kejayaan besar USSB dalam penghasilan pelet dari kelapa sawit ini turut meraih minat dan perhatian pihak Alam Flora Sdn.Bhd. yang berhasrat untuk bekerjasama melalui penghasilan produk berasaskan sisa biomas.

“Bersesuaian dengan misi menyokong kelestarian alam semula jadi, USSB yang mempunyai lebih 10 tahun pengalaman tidak pernah jemu menjalankan pelbagai kaji selidik bagi meluaskan pasaran biomas.

“Susulan itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sentiasa teguh di belakang, memberi sokongan dalam merealisasikan hasrat USSB,” katanya.

Untuk rekod, USSB juga berpengalaman membekalkan produk dari asas yang sama tetapi berspesifikasi untuk bahan bakar bagi jana tenaga eletrik ke Jepun.

Tambah beliau,pembekalan sebanyak 5,000 tan pelet sebulan yang bernilai RM 100 juta ke Wilayah Henbei oleh pihak USSB itu dijangka bermula November ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya