KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) melaksanakan penjajaran semula melibatkan pemerkasaan penyelidikan, inovasi industri dan pengkomersialan dari segi peningkatan keupayaan, kapasiti penyelidikan yang lebih dinamik serta proaktif.
Ini dilaksanakan melalui tadbir urus geran dan penawaran dana serta geran-geran baharu yang berimpak tinggi dengan objektif khusus untuk menghasilkan idea-idea baharu, memfokuskan isu strategik semasa negara, mendepani cabaran dan mengadaptasi Transformasi Digital menerusi Revolusi Industri 4.0.
Usaha itu menyaksikan transformasi agenda penyelidikan, inovasi industri dan pengkomersialan UMP diperkukuh dan diperkasakan seiring Pelan Strategik UMP 2021–2025 yang dilaksanakan menerusi Objektif Strategik 2 iaitu Inovasi dengan Kolaborasi Industri dan Objektif Strategik 3 Penerokaan Teknologi Berimpak Tinggi.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, institusi pengajian tinggi (IPT) itu menyediakan latihan kepada industri dengan menggunakan kepakaran dan teknologi yang dimiliki oleh UMP.
“Selain dari latihan teknikal, bagi tujuan mencapai kemapanan kerjasama di antara UMP dan industri, kerjasama dengan industri juga akan dibina bagi meningkatkan keupayaan teknikal industri dengan menggunakan kepakaran dan teknologi dimiliki ahli akademik UMP.
“Kini UMP telah berjaya mencapai sasaran dengan meningkatkan bilangan latihan teknikal bersama industri dan juga kendalian industri berbanding tahun sebelumnya. Begitu juga dari aspek kerjasama naik taraf keupayaan teknikal industri.
“Sebanyak 20 Geran Pembangunan Produk (PDUGrant) telah diwujudkan untuk menghasilkan prototaip atau produk yang mampu berfungsi dengan menggabung jalin kepakaran penyelidik dalaman dan komponen sedia ada di pasaran,” katanya dalam kenyataan di sini ini. – UTUSAN