UiTM lebar kolaborasi dengan tiga universiti di Turkiye

UiTM lebar kolaborasi dengan tiga universiti di Turkiye

AHMAD Rashidy Razali (kiri) bersama Ismail Kucuk selepas memeterai MoU antara UiTM dengan IZU di Turkiye, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi cawangannya di Pulau Pinang terus melebarkan jaringan kerjasama strategik dengan universiti antarabangsa kali ini bersama tiga universiti di Turkiye, baru-baru ini.

Tiga universiti itu ialah Istanbul Sabahattin Zaim University (IZU); Canakkale Onsekiz Mart University (COMU) dan Eskisehir Osmangazi University (ESOGU).

Diwakili oleh Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik) UiTM Pulau Pinang yang menjalankan tugas-tugas Rektor iaitu Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Rashidy Razali, delegasi itu turut disertai enam pegawai daripada pelbagai bidang pengajian termasuk Pengurusan dan Perniagaan, Hotel dan Pelancongan serta Pengajian Islam Kontemporari.

Dalam siri kunjungan ke negara yang terletak di antara benua Asia dan Eropah itu, satu memorandum persefahaman (MoU) turut ditandatangani bersama IZU yang diwakili Timbalan Rektornya, Prof. Dr. Ismail Kucuk dengan disaksikan Timbalan Dekan, Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan universiti tersebut, Penolong Prof. Dr. Merve Busra Altundere Dogan.

Dalam majlis itu, Ahmad Rashidy mewakili UiTM dengan disaksikan oleh wakil daripada Jabatan Pengurusan dan Perniagaan UiTM Pulau Pinang, Dr. Nor Khadijah Mohd. Azhari.

Ketika berucap sempena majlis tersebut, beliau yang juga mewakili Naib Canselor UiTM berkata, peluang kerjasama bersama IZU diharap dapat membuka jalan ke arah melaksanakan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti penyelidikan dan mobiliti pelajar serta staf antara kedua-dua buah universiti.

“Kerjasama ini antara lain dijangka meningkatkan kompetensi global universiti ini (UiTM) dalam merealisasikan agenda dalam pelan strategik UiTM 2025 (GRU2025),” katanya.

Ismail dalam pada itu berharap peluang kerjasama tersebut dapat meningkatkan prestasi kedua-dua universiti itu khususnya melalui penyelidikan bersama, pertukaran pelajar, penganjuran persidangan dan seminar antarabangsa.

Ujarnya, kerjasama itu bukan sahaja dapat merapatkan hubungan kedua-dua universiti, malah dapat merapatkan hubungan antara dua negara iaitu Turkiye dan Malaysia.

Selain IZU, delegasi UiTM ke Turkiye turut berpeluang mengadakan pertemuan ilmiah secara bersemuka bersama wakil pengurusan tertinggi COMU selepas memeterai MoU dengan universiti berkenaan secara maya semasa pandemik Covid-19, tahun lepas.

Dalam masa sama, perbincangan serta perancangan lebih komprehensif turut dicapai bersama ESOGU untuk melaksanakan beberapa projek akademik berskala besar pada masa akan datang. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya