KUALA LUMPUR: Pemberian Khas 40 peratus hasil negeri Sabah dikutip Kerajaan Persekutuan yang selama ini menjadi tuntutan rakyat Sabah mungkin ‘terkubur’ setelah kerajaan mewartakan kajian semula pemberian khas melalui geran tahunan (pemberian lain) selama lima tahun.
Ini walaupun Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor sebelum ini berpendirian akan menuntut 40 peratus hasil negeri, bagaimanapun, kedua-dua kerajaan pada masa sama telah bersetuju menerima pemberian khas secara gantian yang bukan berdasarkan formula berkenaan.
Berdasarkan warta diterima Utusan Online, warta itu dinamakan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) 2022 yang telah dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah pada 14 Februari 2022.
Warta itu menyebut, kedua-dua kerajaan bersetuju selama tempoh lima tahun bermula 2022 hingga 2026, Kerajaan Persekutuan hendaklah memberikan Sabah pemberian lain sebagai menggantikan pemberian yang dibuat di bawah perintah pemberian khas semasa ulangkaji pertama pada 1970.
“Kerajaan Persekutuan hendaklah membuat kepada Sabah berkenaan dengan tahun kewangan 2022, 2023, 2024, 2025 dan 2026 pemberian masing-masing berjumlah RM125.6 juta, RM129.7 juta, RM1333.8 juta, RM138.1 juta dan RM142.2 juta.
“Oleh itu, perintah pemberian khas Sabah (ulangkaji pertama), 1970 dibatalkan,” kata warta itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Kinabalu dari DAP, Chan Foong Hin berkongsi warta sama di Facebooknya berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah boleh berhenti ‘bermain wayang’ dan tidak perlu berlakon bahawa pemberian khas Sabah akan terus dipertingkatkan.
“Apa yang sudah diwartakan telah mendedahkan kesemuanya. Tiada lagi ruang rundingan untuk tahun 2022 ke 2026. Selamat tinggal geran 40 peratus, memandangkan ini sudah dipersetujui secara bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri,” katanya hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memaklumkan, pemberian khas menerusi geran tahunan dinaikkan 4.7 kali ganda atau RM125.6 juta (2022) berbanding RM26.7 juta sejak 1973 (ulangkaji pertama).
Bagaimanapun, pembangkang berpendapat, pemberian khas itu tidak berdasarkan formula 40 peratus dan nilai sebenar adalah jauh lebih besar jika Kerajaan Persekutuan dan negeri bersetuju mengikuti formula berkenaan.
Di awal pembentukan Malaysia, Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama subseksyen 2(1), Bahagian IV, Jadual Ke-10, Perlembagaan memperuntukkan, Sabah berhak menerima pemberian khas dengan dua perlima atau 40 peratus daripada hasil negeri yang dikutip Kerajaan Persekutuan setiap.
Jun lalu, Pakatan Harapan (PH) Sabah memulakan tindakan undang-undang dan menamakan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama dan kerajaan negeri Sabah sebagai defendan kedua berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri.
Masalah bermula apabila Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada mesyuarat Parlimen Mac lalu memberitahu, rundingan pemberian khas dan formula 40 peratus hasil bersih negeri sudah ‘tidak lagi terpakai’ setelah kajian semula dijalankan dalam tempoh 1969 hingga 1973 dan kadarnya masih berkuat kuasa hingga kini.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Sepanggar dari Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman yang memulakan pertikaian itu berkata, ia masih terpakai memandangkan tiada pindaan dilakukan sejak tahun itu hingga sekarang. –UTUSAN ONLINE