GEORGETOWN: Tourism Malaysia menyasarkan kira-kira 500 hingga 600 pakej Durian Tourism dapat dijual di seluruh negara dengan pulangan lebih RM100,000 kepada pengusaha yang menyertai program berkenaan.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab berkata, selari dengan peralihan negara ke fasa endemik, kempen pakej Durian Tourism Promosi Diskaun 10 peratus dianjurkan pada tahun ini bermula dari 1 Julai sehingga 31 Ogos ini.
”Program ini bertujuan merancakkan semula aktiviti pemasaran dan promosi pelancongan domestik sekali gus dilihat berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi penduduk setempat.
”Buah durian adalah buah yang bermusim dan kita sasarkan antara 500 hingga 600 pakej Durian Tourism dapat dijual sepanjang kempen dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan kempen pakej Durian Tourism 2022 di Hin Bus Depo, di sini semalam.
Menurutnya, bagi menjayakan kempen itu Tourism Malaysia menjalin kerjasama dengan lima pengusaha pelancongan dalam membangunkan pakej-pakej durian yang menggabungkan elemen eko pelancongan, agro pelancongan, arkeo pelancongan dan pengembaraan lasak.
Tambahnya, lima pengusaha pelancongan terlibat ialah Kurma Travel and Tours Sdn. Bhd; Adventure360 Tours Sdn. Bhd.; Time Free Vacation Sdn. Bhd.; M.Maha-Izah Transport and Tours Sdn. Bhd. dan Asia Gateway Tours.
Jelas beliau, antara pakej yang ditawarkan termasuk Pakei 2 Hari 1 Malam (2H1M) bermula RM290 seorang dan Pakej 3 Hari 2 Malam (3H2M) bermula RM388 seorang dengan tempahan minimum empat orang bagi setiap pakej.
”Kita berharap lebih ramai pengendali pelancongan bukan sahaja di negeri-negeri di wilayah utara tetapi juga di seluruh Malaysia dapat terlibat dengan pakej sebegini,” katanya.
Dalam pada itu tambah beliau, kerajaan melalui Tourism Malaysia sentiasa komited dan bersedia membantu mempromosikan pakej-pakei seumpama itu yang memberikan manfaat secara langsung kepada pelancong serta pemain industri pelancongan terlibat. – UTUSAN