KOTA KINABALU: Perolehan tiga Helikopter AW139 yang kini dimiliki Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan membantu memperkukuhkan lagi pengawasan ruang udara di perairan maritim Sabah dan Sarawak.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penambahan aset itu dilakukan bagi memenuhi keperluan TLDM untuk memiliki Helikopter Operasi Maritim (HOM) agar dapat meningkatkan lagi kekuatan inventori mereka di Armada Timur.
Beliau berkata, dengan adanya aset baharu itu, ia membolehkan TLDM melakukan rondaan dan penguatkuasaan dengan lebih kerap di perairan maritim Sabah dan Sarawak yang berkeluasan 315, 263 kilometer persegi.
“Tambahan aset baharu TLDM itu juga akan meningkatkan keupayaan operasi TLDM terutama dalam memelihara keselamatan dan kedaulatan negeri Sabah. Kita akan sentiasa melipatgandakan usaha memelihara kedaulatan dan keselamatan Sabah.
“Secara keseluruhan, tiga buah Helikopter AW139 yang dibeli, namun, hanya dua diterima dan diserahkan hari ini (semalam) manakala sebuah lagi dijangka tiba pada bulan September,” katanya semasa perasmian Stesen Udara
Kota Kinabalu (SUKK) dan penyerahan Helikopter Operasi Maritim (HOM) di TLDM Sepanggar semalam.
Menurut beliau, penambahan aset-aset baharu seperti Helikopter AW139 ini dilihat berupaya mengekalkan moral dan semangat anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya TLDM untuk melaksanakan penugasan operasi yang sentiasa mencabar.
Hishammuddin berkata, aset-aset tambahan sebegini penting bagi membolehkan kawalan keselamatan di perairan maritim dapat dipertingkatkan.
Menurut beliau, kementerian itu juga akan terus melihat keperluan-keperluan mendesak bagi mendapatkan perolehan aset bagi meningkatkan pengoperasian ATM.
“Sekiranya ada keperluan mendesak bagi mendapatkan perolehan aset, kita ada saluran kita iaitu antara ATM dan saya sendiri serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri untuk membincangkannya.
“Setakat hari ini keperluan aset semasa difahamkan mencukupi termasuk aset yang baharu dibekalkan,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, penubuhan Skuadron 503 yang dilancarkan secara rasmi semalam akan meningkatkan kecekapan pengoperasian HOM kerana skuad itu akan bertanggungjawab memantau zon Maritim Malaysia serta
Maritime Domain Awareness (MDA) dan over the horizon targeting (OTHT), menjalankan operasi pasukan khas, dan latihan krew udara serta warga kapal.
Di samping itu, Skuadron 503 juga akan melaksanakan tugas-tugas sekunder merangkumi tugas membantu operasi mencari dan menyelamat, membantu misi pemindahan perubatan (Medevac), pemindahan kematian (Casevac) dan membantu misi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR).
Di peringkat awal, Skuadron 503 ini akan beroperasi dengan kekuatan seramai 25 pegawai dan 92 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang akan ditugaskan di empat bahagian iaitu keselamatan penerbangan, operasi dan latihan; pentadbiran dan logistik, serta kejuruteraan udara.
Jelas beliau, Skuadron 503 akan berada di bawah perintah operasi Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK) yang terletak di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.
Dalam pada itu, beliau turut meluluskan peruntukan RM1 juta bagi mengecat semula bangunan sedia ada di TLDM Sepanggar itu. –
Lebih banyak kem dan aset ketenteraan tingkat keselamatan Sabah
Dalam pada itu Kementerian Pertahanan akan terus memastikan keselamatan di Sabah sentiasa terjamin menerusi tambahan lebih banyak aset dan kem tentera baharu.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pembinaan dua kem tentera darat baharu di Lahad Datu dan Kem Paradise, Kota Belud akan memastikan keselamatan di kawasan Pantai Timur dan Pantai Barat Sabah akan sentiasa terjamin.
“Saya akhirnya kembali semula ke Sabah sebagai Menteri Pertahanan. Saya tak pernah lupa apa yang dilalui di Tanduo, Lahad Datu. Pada masa itu, kita berhadapan pencerobohan dan semua (aset) yang kita minta, kita dapat.
“Kita melihat ancaman terhadap Sabah sentiasa ada, maka, kalau kita tidak meningkatkan perancangan bagi memastikan bumi Sabah selamat, saya percaya ramai yang akan cuba porak-perandakan negeri ini.
“Justeru, apa yang dirancang sejak insiden di Lahad Datu akan sentiasa diteruskan di bawah kementerian saya,” katanya semasa majlis perasmian Stesen Udara Kota Kinabalu dan Skuadron 503 di Markas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar semalam.
Menurut beliau, pembinaan Kem Lahad Datu akan dimulakan pada tahun ini. Dalam pada itu, dua Pos Imbangan baharu iaitu Pos Luis dan Pos Tibow selesai pembinaannya pada bulan Mei dan tambahan itu menjadikan Pos Imbangan di Sabah menjadi sembilan pada masa ini.
Di samping itu, sebanyak tiga buah lagi Pos Imbangan bakal dibina masing-masing satu di Tawau serta dua di Kalabakan.
Bagi meningkatkan keselesaan anggota yang bertugas mengawal keselamatan di pesisir pantai, Pos-pos Operasi Persisiran Pantai (OPP) juga dimuktamadkan untuk menjalani proses naik taraf. Buat masa ini, proses menaik taraf dua OPP telah pun berjalan.
“Untuk meningkatkan keberkesanan dan keupayaan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di pesisir pantai Sabah, penstrukturan semula daripada sudut command and control dan penugasan anggota di bawah ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM dilaksanakan dan kini diletakkan di bawah Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2),” katanya.
Mengenai aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula, sebanyak 20 unit Bot Tempur baharu akan diperoleh menerusi kaedah GOCOM dan kesemua bot ini dijangka beroperasi mulai bulan Februari 2023.- UTUSAN