Tinggalkan kerja eksekutif, jadi usahawan cendawan

Tinggalkan kerja eksekutif, jadi usahawan cendawan

HASNUR Fazlee Mohammad menunjukkan bongkah cendawan yang dihasilkan di Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang bekas eksekutif ladang sanggup meninggalkan gaji tinggi dan beralih menjadi usahawan cendawan demi keluarganya.

Hasnur Fazlee Mohammad, 42, berkata, selepas 13 tahun hidup sebagai pasangan jarak jauh, dia akhirnya mengambil keputusan berhenti kerja selepas berbincang dengan isterinya, Supiah Bakri, 39.

Dia memilih tanaman cendawan kerana cara penjagaannya yang mudah dan tidak renyah selain sesuai dengan usianya yang semakin meningkat.

“Sebaik sahaja meletak jawatan, saya memulakan projek cendawan di Kampung Gembut Sedili bermula dengan membeli 1,000 bongkah, kemudian tambah 500 bongkah dan tambah lagi 1,000 bongkah.

“Sambutan yang diterima amat baik, bahkan saya tidak dapat menampung permintaan pelanggan yang ada. Disebabkan itu saya melaburkan wang membina sebuah lagi rumah cendawan di rumah orang tua di Felda Air Tawar 2.

“Saya bermodalkan RM15,000 untuk membeli peralatan membuat bongkah dan rumah cendawan. Alhamdulillah, sekarang saya ada 2,000 bongkah yang dihasilkan di rumah cendawan ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Bapa kepada seorang anak itu mengakui, kini kehidupannya lebih bermakna kerana mempunyai masa yang lebih berkualiti bersama-sama keluarganya berbanding sebelum ini hanya dapat meluangkan masa sehari setengah pada hujung minggu bertemu isteri dan anak sebelum terpaksa kembali ke tempat kerjanya di Mersing.

“Alhamdulillah, banyak perubahan saya dapat lihat pada diri anak, Hasnur Nisa Humaira yang kini berusia 12 tahun. Saya dapati pelajarannya lebih baik, dia mendapat nombor satu dalam kelas dan menjadi ketua pengawas di sekolah.

“Tidak dinafikan ada juga suara-suara yang menyatakan saya rugi kerana banyak manfaat telah diberikan majikan lama, namun saya yakin masa yang berkualiti bersama-sama keluarga lebih penting. Cukuplah berbelas tahun kami berjauhan,” katanya.

Seperti pengusaha lain, dia turut berdepan dengan cabaran, antaranya bongkah yang tidak menjadi namun perkara itu tidak mematahkan semangatnya.

“Pejabat Pertanian Kota Tinggi banyak memberi tunjuk ajar dan bimbingan selain rakan-rakan lain yang sama bidang. Apa sahaja masalah yang melanda saya, jadikan ia sebagai cabaran untuk saya lebih mengkaji dan mencari solusi.

“Meskipun baru masuk dua tahun saya ceburi bidang ini, saya dapat lihat masa depan yang baik kerana permintaannya sangat tinggi. Saya juga menyasarkan dalam tempoh lima tahun mahu menjadi pembekal cendawan di pasar borong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya