PETALING JAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi pelancongan yang terbabit dalam insiden 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin supaya ia tidak berulang pada masa depan.
Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, penipuan sama telah berlaku sejak lebih 20 tahun.
“Tiap-tiap tahun berlaku, jadi kena gunakan undang-undang jenayah berkaitan penipuan. Namun diakui, urusan haji ini bukanlah di bawah tanggungjawab Motac dan adalah tidak tepat untuk menyalahkan Motac dalam hal ini.
“Jabatan berkaitan hal ehwal agama Islam juga perlu mengadakan satu peraturan bagaimana orang yang memperdayakan orang lain dalam enakmen agama boleh dikenakan tindakan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.
Media sebelum ini melaporkan, bakal jemaah haji yang terkandas itu dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).
Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh meneusi Tabung Haji.
Bagaimanapun, Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, kedutaan itu tiada kaitan dengan masalah 380 bakal jemaah haji terkandas.
Dalam masa yang sama. Md. Daud berharap, isu penipuan haji dan umrah ini akan turut disentuh dalam teks-teks khutbah Jumaat seluruh negara supaya masyarakat awam berwaspada dan tidak menjadi mangsa.
“Setahun ada 52 kali khutbah, jadi apa salahnya masukkan satu atau dua khutbah berkaitan hal ini kerana ia terus sampai kepada golongan sasaran,” jelasnya.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed berkata, bakal jemaah haji tidak terus teruja menerima sesuatu tawaran pakej haji walaupun mempunyai kemampuan untuk membuat bayaran.
“Kita kena pastikan, bukan asal janji dapat pergi. Sudah banyak kali orang-orang kita terperangkap dengan isu-isu begini, jadi umat Islam di Malaysia harus lebih berhati-hati,” katanya.- UTUSAN