BALING: Tiga sekeluarga termasuk seorang wanita yang mengandung empat bulan dipercayai hilang dalam banjir yang berlaku di Kampung Bukit Iboi, di sini petang semalam.
Menurut Abd. Rahman Said, 71, mereka yang hilang ialah isterinya, Salmiah Md. Akhir, 53; menantunya, Nurul Hanis Md. Hassan, 23, dan anak tirinya, Muhamad Khairul Iqwan Nor Azman.
Lebih mengejutkan, ketika tiba ke rumah, dia mendapati rumah yang mereka diami serta beberapa buah lagi rumah jiran lenyap kerana dihanyutkan arus deras.
“Pada pukul 4.50 petang, ketika berada di Pekan Kupang, saya dapat panggilan daripada menantu yang menyatakan air sungai telah naik dan masuk ke rumah jiran.
“Kemudian sekali lagi saya terima panggilan daripada anak yang tinggal di Pulau Pinang, namun saya merasakan rumah kami tidak dimasuki air kerana berada di kawasan yang agak tinggi,” katanya ketika ditemui hari ini.
Abd. Rahman yang kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai berkata, dia selepas itu bergegas pulang namun lewat tiba memandangkan air banjir melimpah ke jalan selain deretan kenderaan yang bergerak perlahan.
“Ketiga-tiganya berada di rumah kerana isteri saya menghidap penyakit lumpuh dan terlantar. Mereka kini hanyut dan masih belum dijumpai.
“Saya berharap mereka dapat ditemui dengan segera walau dengan apa keadaan sekalipun dan saya reda dengan ketentuan Ilahi serta nasib yang menimpa kami,” katanya.
Sementara itu, suami kepada Nurul Hanis, Mohd. Khairul Ashraf Nor Azman, 24, berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja di Pulau Pinang dan bercadang pulang ke kampung hari ini.
“Kali terakhir kami berjumpa pada minggu lepas, kami sentiasa berhubung melalui telefon dan pagi semalam dia teringin hendak makan pizza dan minta saya jaga diri baik-baik,” katanya.
Tambahnya, dia juga sepatutnya membawa isteri yang dikahwininya pada bulan Febuari lalu untuk pemeriksaan kandungan bayi mereka hari ini.- UTUSAN