Tiga jam pindahkan ‘Awang Ketengga’ - Utusan Malaysia

Tiga jam pindahkan ‘Awang Ketengga’

‘AWANG Ketengga' diberi makan batang pisang sebelum dipindahkan ke Tasik Kenyir, di Kampung Seri Ketengga, Baling semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah mengambil masa tiga jam untuk memindahkan seekor gajah liar di Kampung Seri Ketengga, Siong, semalam.

Pengarah Perhilitan Negeri, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, mereka menggunakan khidmat dua ekor gajah denak yang diberi nama ‘Rambai’ dan ‘Sanun’ dari Kuala Gandah, Pahang untuk memujuk gajah liar dikenali sebagai ‘Awang Ketengga’ yang dilaporkan berkeliaran di kebun penduduk sejak dua minggu lalu.

“Kehadiran ‘Awang Ketengga’ berhampiran kampung dan kebun penduduk menyebabkan penduduk takut untuk keluar mencari rezeki.

“Kita telah menjalankan operasi mengesan dan menangkap gajah liar berusia lingkungan 10 hingga 12 tahun itu dan berjaya ditangkap Sabtu lalu dalam keadaan sihat,” katanya ketika ditemui dalam operasi menangkap dan memindahkan gajah itu di sini, semalam.

Menurut Jamalun Nasir, gajah dengan saiz tapak kaki sebesar 10 inci dan gadingnya sepanjang kira-kira tujuh inci itu dipercayai terpisah daripada kawanan yang lain.

“Sehingga kini 11 gajah berjaya ditangkap di Kedah iaitu di Sik dan Baling serta kita tidak menolak kemungkinan masih ada gajah liar di kawasan hutan belukar berkenaan kerana menjadi kebiasaan haiwan itu bergerak dalam kumpulan.

“Gajah liar berpindah dari satu tempat ke tempat lain untuk mencari makanan, tetapi apabila kawasan habitatnya diceroboh akibat projek pertanian atau pembangunan, haiwan itu akan masuk ke kampung,” katanya.

Katanya, kumpulan haiwan liar itu dikesan bergerak dari Hutan Simpanan Ulu Muda dan Gunung Inas selain turut memusnahkan banyak tanaman penduduk seperti pisang, kuinin, durian, kelapa, dokong dan kelapa sawit.

“Haiwan itu sudah biasa berada dan mencari makan di sini, lagipun, gajah turut mempunyai konflik kawasan antara kawanan gajah lain kerana kampung ini mempunyai banyak sumber makanannya.

“Gajah liar sudah biasa mencari makanan di situ malah dilihat seperti tidak tahu hendak ke mana, dia hanya balik ke tempat asalnya atau ‘kampung’ asalnya sahaja. Ini pula kita panggil konflik di antara haiwan dan manusia,” katanya.

Beliau berkata, ‘Awang Ketengga’ itu akan dipindahkan ke habitat asal di Konservasi Gajah Tasik Kenyir di Terengganu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN