Tidak serik dulang emas di Lubuk Mandi

Tidak serik dulang emas di Lubuk Mandi

SEORANG penduduk menjalankan kerja-kerja mendulang emas di Lubuk Mandi, Rusila, Marang, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Kejadian mangsa tertimbus ketika melombong emas di Lubuk Mandi, Rusila lebih 30 tahun lalu tidak menakutkan penduduk setempat untuk terus mendulang emas di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, suasana di kawasan itu yang suatu ketika dahulu sibuk dengan aktiviti melombong emas secara mendulang kini bertukar sunyi apabila tidak lagi menjadi tumpuan orang ramai.

Tinjauan Utusan Malaysia semalam di kawasan lembah itu mendapati, kira-kira enam penduduk tempatan masih menjalankan kerja-kerja mendulang emas.

Sementara itu, hampir keseluruhan tanah kawasan tersebut ditinggalkan dalam keadaan berlubang-lubang akibat aktiviti perlombongan sebelum ini yang dijalankan secara tidak terkawal.

Terdapat tiga jentera pengaut milik syarikat pelombong emas beroperasi dipercayai di kawasan tanah milik individu yang turut dilengkapi dengan palung untuk menapis emas.

Penduduk terbabit didapati mendulang emas secara tradisional dengan menggunakan kuali di kawasan longgokan sisa-sisa tanah yang ditinggalkan oleh syarikat perlombongan emas di tanah milik individu yang dipajak sebelum ini.

Seorang penduduk yang mahu dikenali Ahmad, 43, berkata, dia bekerja mendulang emas sepenuh masa di Lubuk Mandi hampir 20 tahun lalu.

Menurutnya, sebelum ini kawasan tersebut menjadi tumpuan ratusan orang termasuk dari luar daerah ini untuk mendulang emas.

Bagaimanapun, katanya, sejak 10 tahun lalu jumlah pengunjung yang mendulang emas semakin berkurangan kerana hasil yang diperoleh mereka tidak setimpal dengan tenaga yang dikerah.

“Saya mendulang emas pada setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu. Dalam tempoh seminggu saya dapat mengumpul emas kira-kira tujuh hingga 10 miligram (mg) sahaja.

“Kebiasaannya saya menjual emas kepada peraih emas di Rusila seminggu sekali dan purata pendapatan saya pula kira-kira RM200 dalam tempoh seminggu,” katanya ketika ditemui di Lubuk Mandi semalam.

Ahmad memberitahu, dia sebelum ini pernah beberapa kali menemukan ketulan emas seberat lebih 10 gram ketika mendulang di kawasan berkenaan.

“Kerja mendulang emas memerlukan kesabaran yang tinggi dan tidak boleh cepat patah semangat kerana pekerjaaan tersebut sukar dan mencabar,” ujarnya.

Seorang lagi pendulang emas yang dikenali sebagai Rashid, 40, pula berkata, kebiasaannya dia hanya menggali tanah sedalam kira-kira satu hingga dua meter sebelum mendulang emas bagi menjaga keselamatan.

Katanya, sisa-sisa tanah yang dipercayai bercampur dengan emas diayak terlebih dahulu dan dikumpulkan dalam bekas sebelum dibawa pulang untuk jual kepada peraih.

“Peraih pula akan menapis tanah yang halus itu untuk mendapatkan emas berkualiti sebelum dibeli daripada pelanggan mereka,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya