Tidak adil batal keputusan Sejarah 15 calon SPM - GPMS

Tidak adil batal keputusan Sejarah 15 calon SPM – GPMS

MOHD ALIF ANAS MD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan membatalkan keputusan subjek Sejarah melibatkan 15 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di sebuah sekolah di Putrajaya disifatkan tidak adil dan dibimbangi menjejaskan masa depan mereka. 

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd. Alif Anas Md. Noor berkata, tindakan berkenaan boleh menjejaskan pensijilan SPM calon-calon terlibat dan lebih serius dikhuatiri sukar memasuki institusi pengajian tinggi.

Sehubungan itu, katanya, GPMS akan membantu mencari jalan penyelesaian bagi membela nasib dan masa depan 15 calon berkenaan.

 “Tidak adil Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) mengambil tindakan membatalkan keputusan Sejarah tersebut. 

“GPMS akan menghubungi dan menulis surat kepada LPM dan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyiasat lebih lanjut mengenai isu ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini. 

Terdahulu, 15 calon SPM 2021 itu dilapor dibatalkan keputusan subjek Sejarah mereka kerana terbawa masuk telefon bimbit ke dalam dewan peperiksaan. 

KPM dan reaksinya menyatakan menghormati keputusan dan protokol yang telah dipatuhi oleh LPM mengenai tindakan berkenaan.

Mohd. Alif Anas berkata, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah terlibat seharusnya bersemuka dengan LPM dengan kadar segera bagi membincangkan isu tersebut. 

Katanya, 15 calon SPM itu juga seharusnya membuat rayuan dan memohon jasa baik LPM bagi mendapatkan kompromi yang adil. 

“GPMS berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera supaya masa depan 15 calon tersebut tidak terjejas disebabkan oleh satu keputusan berkaitan subjek Sejarah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN