Tiada lagi pencemaran minyak di Paya Setokok

Tiada lagi pencemaran minyak di Paya Setokok

ISMAIL Othman (kiri) memberi penerangan kepada Mohamad Ali Mohamad sewaktu meninjau Sungai Paya Setokok di Kampung Sungai Udang Jaya, Melaka. - FOTO/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Langkah mendalamkan Sungai Paya Setokok di Kampung Sungai Udang Jaya dan pemasangan semula dua perangkap minyak atau oil boom berjaya mengatasi masalah pencemaran akibat tumpahan minyak yang melanda penduduk, sejak lebih seminggu lalu.

Ketua Kampung, Datuk Ismail Othman berkata, tindakan pantas dilakukan Petronas Penapisan (Melaka) Sdn. Bhd. membantu mendalamkan Sungai Paya Setokok sepanjang dua kilometer (km) berkesan menyelesaikan isu berkenaan.

Menurutnya, penduduk tidak lagi berdepan masalah kesihatan seperti batuk kesan terhidu bau minyak.

“Alhamdulillah, kami seluruh penduduk di Kampung Sungai Udang Jaya mengucapkan terima atas usaha yang dilakukan oleh Petronas Penapisan (Melaka) Sdn. Bhd. di Sungai Udang.

“Usaha mendalamkan Sungai Paya Setokok dan pemasangan dua perangkap minyak berjaya mengatasi masalah pencemaran. Paling dibimbangi jika pencemaran itu memasuki Sungai Lubuk Bakong dan boleh menjejaskan sawah padi di Kampung Paya Rumput Jaya, Kampung Sungai Udang Jaya dan Paya Luboh berjaya dielakkan,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas sesi tinjauan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Utusan Malaysia pada 23 Jun lalu melaporkan keluhan penduduk Kampung Sungai Udang Jaya berikutan tumpahan minyak dari sebuah premis perindustrian.

Situasi itu juga menyebabkan beberapa penduduk berhampiran mula mengalami batuk akibat terhidu bau minyak di sungai berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya