Tiada alasan RoS tolak permohonan UMNO   - Utusan Malaysia

Tiada alasan RoS tolak permohonan UMNO  

MOHAMAD Hasan (10 dari kanan) mengadakan pertemuan bersama Jentera Pilihan Raya BN Perlis dalam satu majlis di Dewan Warisan, Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak mempunyai alasan untuk menolak permohonan UMNO berhubung pindaan perlembagaan parti itu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu telah memenuhi segala kehendak dan peraturan RoS bagi membolehkan pindaan perlembagaan tersebut diluluskan.

Katanya, bagaimanapun, sekiranya RoS tetap menolak permohonan itu, UMNO terpaksa melakukan pemilihan jawatankuasa parti  mengikut proses ditetapkan.

“Dalam masa sama UMNO akan lakukan semakan perundangan terhadap penolakan tersebut kerana kita nak tahu apa sebabnya. 

“UMNO telah memenuhi segala kehendak dan peraturan RoS dengan melakukan mesyuarat agung tahunan (AGM) , menyediakan minit mesyuarat, senarai kehadiran dan sebagainya. Jadi tak ada isu kita tak ikut perlembagaan,” katanya selepas majlis pertemuan bersama jentera pilihan raya BN negeri Perlis di Dewan Warisan di sini hari ini.

RoS sebelum ini memaklumkan keputusan  pindaan perlembagaan parti itu bagi menangguhkan pemilihan dan tarikh akhir keputusan pada 16 Julai bagaimanapun sehingga kini belum ada keputusan.

Perhimpunan Agung Khas UMNO pada Mei lalu sebulat suara meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO yang antara lain membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih dari enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, UMNO akan menunggu maklum balas  RoS berhubung keputusan permohonan itu sehingga awal Ogos ini dan tindakan selanjutnya akan diambil mengikut proses ditetapkan.

“Kalau pindaan itu diluluskan, Alhamdulillah, (dan) kalau tidak pun kita akan rayu kepada menteri. Itu prosesnya. Tetapi kita tak boleh menunggu lama sebab kita akan tersepit kerana ‘edah’ pemegang jawatan parti hanyalah sehingga akhir Disember nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, keputusan bagi menangguhkan pemilihan parti dibuat secara konsensus bagi mengelakkan berlakunya perpecahan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, keutamaan UMNO pada masa ini hanyalah untuk memenangi PRU15 dan kebanyakan pemimpin atasan berpandangan lebih baik pemilihan parti ditangguhkan terlebih dahulu.

“Ini adalah keputusan yang dibuat secara bersama bagi mengelakkan parti cedera sewaktu menghadapi PRU15,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN