PUTRAJAYA: Penggiat filem tanah air perlu mengetengahkan lebih banyak kisah-kisah perjuangan membabitkan tokoh kemerdekaan Tanah Melayu dan ulama di layar perak.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, negara belum ada filem autobiografi atau biopik tokoh-tokoh Islam seperti Syeikh Abdul Rahman Humaid al-Sumait dan Syeikhul Islam Mustafa Sabri.
“Malah, jauh sekali untuk kita melihat kisah Tok Janggut, Tokku Pulau Manis, Tokku Paluh, Haji Abdul Rahman Limbong, Tuanku Sultan Zainal Abidin III, Tok Kenali dan ramai lagi tokoh pejuang Melayu di layar perak.
“Saya melihat ruang lebih luas jika kerajaan dapat berganding bahu memajukan industri filem tanah air yang mana manfaatnya boleh menyelesaikan pelbagai masalah masyarakat dan bukan lagi hanya tersimpan pada poket-poket pihak tertentu sahaja,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau mengakui filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang ditayangkan ketika ini berjaya meniup rasa bangga dan patriotisme dalam diri rakyat Malaysia.
Zulkifli berkata, filem itu mendidik erti berpegang kepada agama, menghormati guru, mengasihi rakan taulan, setiakawan, mempunyai semangat juang yang amat tinggi tanpa menyerah kepada penjajah.
“Saya sejujurnya tidak menonton filem itu di pawagam tetapi melalui penelitian terhadap ulasan-ulasan yang ada, saya dapat rasakan ia hampir senada,” katanya.
Katanya, filem Mat Kilau diterbitkan tepat pada masanya terutama ketika rakyat Malaysia di ambang sambutan Hari Kebangsaan yang bakal disambut pada 31 Ogos depan.
Dalam pada itu Zulkifli berkata, filem itu juga mengingatkannya akan sekeping gambar yang disimpan bapanya ketika Mat Kilau ditemukan semula pada Disember 1969.
“Ketika itu, saya berusia sekitar satu tahun dan ayah saya bersama beberapa orang rakan pergi ke Pulau Tawar untuk bertemu Mat Kilau selepas heboh kemunculan semula lantaran 70 tahun menghilang. Malah, gambar ayah saya bersama Mat Kilau masih kekal dalam simpanan keluarga sehingga ke hari ini,” katanya. – UTUSAN